
KUALA LUMPUR - Keputusan tidak rasmi Pemilihan UMNO bagi sesi 2023-2026 pada Sabtu menunjukkan Ketua UMNO bahagian Padang Terap, Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak tahun 2018.
Beliau berada pada kedudukan ketujuh dengan hanya 14 undi setakat jam 11 malam.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga penyandang jawatan itu berjaya mengekalkan kedudukannya dengan 64 undi.
Pada pemilihan hari ini, Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mendahului undian sejak petang Sabtu menang selesa dengan menerima 67 undi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut berjaya memenangi jawatan Naib Presiden dengan 52 undi meskipun pertama kali menawarkan diri untuk bertanding.
Dalam perkembangan sama, satu-satunya calon wanita dalam persaingan merebut jawatan ketiga tertinggi parti itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said gagal melakar sejarah baharu apabila hanya bertahan di kedudukan keempat dengan mendapat 35 undi.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hanya menerima 27 undi, diikuti Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad (20 undi) dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@Jamaludin (kosong undi).
Persaingan merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bermula selepas tempoh pendaftaran calon ditutup secara rasmi pada 26 Februari lalu.
Pemilihan UMNO akan berakhir pada Sabtu dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO.
