Mohamed Khaled pengerusikan Mesyuarat UMNO Johor

Politics
4 Feb 2023 • 12:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamed Khaled (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.

image is not available
Hasni (kanan) bersalaman dengan Mohamed Khaled di bangunan UMNO Johor pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi UMNO Johor.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu tiba pada jam 9.50 pagi pada Sabtu di bangunan UMNO Johor Jalan Yahya Awal di sini.

Turut mencuri tumpuan, kehadiran Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Hasni Mohammad yang digugurkan daripada jawatan sebagai Pengerusi UMNO Johor pada 27 Januari lalu.

Beberapa pemimpin lain turut dilihat hadir antaranya Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ; Setiausaha UMNO Johor,Datuk Samsolbari Jamali; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Ab Samad dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Difahamkan mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan hala tuju UMNO Johor.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi kembali menjawat jawatan Pengerusi UMNO Johor, selepas lima tahun disandang Hasni.

Datuk Seri Hasni Mohammad menggantikan Mohamed Khaled sebagai Pengerusi UMNO Johor sejak 2018, sebelum mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada Februari 2020, selepas kerajaan PH Johor tumbang.

Bagaimanapun, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi UMNO Johor pada 27 Januari lalu

Penggugurannya diputuskan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) pada mesyuarat bulanan dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, dua Ketua Bahagian UMNO dari Johor iaitu Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang turut digantung keahlian selama enam tahun.