Mohamed Khaled: Pidato platform lahir generasi intelektual, berfikiran kritikal

10 Aug 2023 • 4:09 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

NILAI: Berpidato boleh melahirkan generasi intelektual, berfikiran kritikal dan matang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) .

Beliau berkata pidato secara asasnya adalah pentas untuk melontarkan cita-cita atau idea-idea besar yang dapat mencerminkan kematangan mahasiswa menerusi penggunaan bahasa, selain meningkatkan kemahiran insaniah.

“Jadi, manfaatkanlah pidato ini dengan mempamerkan kekuatan penguasaan bahasa yang baik. Kita mahu Bahasa Melayu dilihat menjadi wahana berkesan dalam membicarakan idea besar. Bahasa Melayu mesti menjadi bahasa ilmu dan bahasa perjuangan.

“Pidato adalah satu kemahiran atau seni yang perlu dibudayakan dengan pemikiran, teknik serta matlamat yang betul,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Pertandingan Akhir Pidato Kebangsaan Bahasa Melayu Piala Menteri Pendidikan Tinggi di Falkulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata Bahasa Melayu juga perlu diangkat sebagai bahasa yang berupaya mencerminkan kekayaan khazanah dan kearifan bangsa Melayu dalam membawa kebaikan manusiawi.

Mohamed Khaled berkata selaras dengan matlamat Malaysia Madani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menegaskan sektor pendidikan tinggi berperanan mendorong mahasiswa melihat menuntut ilmu itu sebagai satu proses mencari kebenaran demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

“Berbekalkan ilmu yang benar, anak muda akan menolak dengan keras kejumudan, ketaasuban dan kemunduran pemikiran. Mahasiswa mesti berusaha menjadi individu berfikiran intelektual dan rasional terutamanya melibatkan diri dalam pidato,” katanya.

Beliau berkata mahasiswa tidak boleh membiarkan diri dipengaruhi pemikiran ekstrem, indoktrinasi terpesong dan tidak berasas kerana negara akan berdepan masalah serta mundur sekiranya generasi akan datang memilih untuk mengikut apa sahaja di depan mata.

Pada edisi tahun ini, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah muncul johan dan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM), Ivanatasha Abdul Majid pula naib johan pertandingan tersebut, sekali gus mewakili Malaysia ke Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Universiti Sains Malaysia (USM). -Bernama

View Original Article