Mohd Akbar dikhuatiri lemas, mangsa alami kejang kaki sebelum tergelincir dalam sungai

1 Nov 2026 • 5:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mohd Akbar dikhuatiri lemas, mangsa alami kejang kaki sebelum tergelincir dalam sungai
Seorang lelaki berusia 34 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai mengalami kekejangan kaki sebelum tergelincir ke dalam sungai di Kampung Tokong, Jalan Kuala Kemubu, Ketereh,

KOTA BHARU - Seorang lelaki berusia 34 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai mengalami kekejangan kaki sebelum tergelincir ke dalam sungai di Kampung Tokong, Jalan Kuala Kemubu, Ketereh, di sini pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh Ahmad Fakaruddin Berahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.10 pagi, sebelum jentera dengan tujuh anggota tiba di lokasi 18 minit kemudian.

Beliau berkata sebaik tiba, anggota bomba memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tebing sungai, sebelum bantuan Pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Pengkalan Chepa dan BBP Pengkalan Kubor digerakkan untuk menjalankan operasi penyelaman.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mengalami kekejangan kaki sebelum terjatuh ke dalam sungai, ketika berada di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, majikan mangsa Mohd Hafiz Othman, 36, berkata lelaki itu berada di lokasi kejadian bagi menjalankan aktiviti menyedut pasir pada 8.30 pagi.

Beliau berkata, difahamkan mangsa mengadu demam sebelum rakannya melihat lelaki itu mengalami kekejangan, sebelum terjatuh dan tenggelam ke dalam sungai.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Akbar Che Abdullah masih belum ditemukan setakat ini, manakala operasi SAR masih diteruskan. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved