Mohd Ridhuan tetap bertugas walau rumah terjejas banjir

20 Dec 2022 • 5:34 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA KRAI: Meskipun turut menjadi mangsa banjir yang sedang berlindung di pusat penempatan sementara (PPS), seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Kuala Krai tetap menjalankan tugas di PPS Pejabat Veterinar di sini.

Mohd Riduan Mat Jusoh (gambar), 32, adalah antara 50 mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS berkenaan sejak Ahad lepas, setelah rumah mereka di Kampung Guchil 6 dinaiki air hampir dua meter.

“Rumah saya terletak di tebing Sungai Guchil mula dinaiki air sekitar 2.30 petang. Saya dan adik lelaki kemudian buat keputusan untuk segera berpindah ke PPS di Pejabat Veterinar.

“Disebabkan saya ditempatkan di pusat tersebut, memahami kesulitan dihadapi pihak atasan buat keputusan saya dibenarkan bertugas di lokasi tersebut berbanding ditempatkan di PPS lain,“ katanya di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Mohd Riduan berkata di PPS tersebut, dia bertanggungjawab memastikan keselamatan kawasan sekitar serta mangsa banjir.

“Saya juga bertugas membantu operasi PPS ini termasuk menolong anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Sepanjang bertugas terfikir juga berkenaan rumah yang terjejas banjir namun demi tanggungjawab saya kuatkan hati,“ katanya yang menyertai pasukan RELA sejak tiga tahun lepas.

Setakat 3 petang, sebanyak 3,229 mangsa daripada 866 keluarga masih ditempatkan di 22 PPS di jajahan Kuala Krai.-Bernama