Mohd Yusri dilantik teraju JPJKK Bukit Aman

LocalPolitics
6 Jan 2026 • 11:27 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran melibatkan enam pegawai kanan berkuat kuasa pada 9 Februari, sebagai langkah memperkukuh struktur kepimpinan dan keberkesanan operasi keselamatan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman. Jawatan beliau di JSPT akan digalas oleh Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, yang sebelum ini mengetuai Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Dalam kenyataan rasmi, Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Polis Abdul Rahman Kassim, memaklumkan bahawa Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, yang kini menyandang jawatan Pengarah JPJKK Bukit Aman, dilantik sebagai Komisioner Polis Urus Setia Ketua Polis Negara (Penyelidikan dan Pembangunan).

Di Sarawak, Asisten Komisioner Polis Zulkipli Suhaili, Ketua Polis Daerah Sibu, dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Sarawak dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner, manakala Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Sarawak, Asisten Komisioner Polis Roselina Daud, dilantik sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak, juga dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Selain itu, Asisten Komisioner Polis Pozlan Ibrahim, Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor, dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Agama dan Kaunseling, Bahagian Agama dan Kaunseling, JIPS Bukit Aman, dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

"Pertukaran ini mencerminkan usaha berterusan PDRM dalam memastikan kepimpinan yang mantap, berwibawa dan berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan serta ketenteraman awam," katanya. - 6 Januari, 2026

The post Mohd Yusri dilantik teraju JPJKK Bukit Aman appeared first on Scoop.