
SHAH ALAM – Setelah lebih lima tahun mengamalkan ritual agama lain, Aliff Daniel Adli, 21, akhirnya bertaubat dan mengucapkan dua kalimah syahadah hari ini.
Selain pemuda itu, ibunya, Rohizayanti Ramli, 52, dan adiknya yag juga pelakon, Nur Ranea Ezreen, 19, turut melakukan lafaz sama dengan berjanji tidak mengulangi perkara tersebut.
Ketika lafaz taubat dilakukan, Aliff Daniel mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan yang bertentangan dengan agama sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Selain itu, lelaki tersebut turut mengaku pernah memberikan rawatan yang tidak mengikut perubatan Islam kepada orang awam, sebaliknya merawat pesakitnya mengikut agama lain.
“Saya menyedari kelakuan saya (sebelum ini) bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Justeru, saya memohon dan menyeru semua pihak atau mana-mana individu yang terpengaruh dengan perbuatan saya sebelum ini supaya segera menghentikan apa-apa bentuk kepercayaan atau keyakinan yang terbina berdasarkan perbuatan saya itu.
‘Kembalilah kepada Islam yang sebenar,” katanya ketika ditemui Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Pemuda tersebut berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang, selain bertekad mahu menjadi umat Islam yang lebih baik.
Aliff Daniel turut memohon dan menyeru mana-mana individu yang terpengaruh dengan perbuatannya supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.
Lafaz taubat tiga beranak tersebut disaksikan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Paduka Dr. Khadijah Mohd. Khambali@Hambali. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Mohon yang terpengaruh kembali kepada Islam sebenar’ appeared first on Kosmo Online.




