Mojoku Hilang yang bersepah-sepah

LocalMovie
2 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mojoku Hilang yang bersepah-sepah

SANGAT menggoda melihat seekor lembu di poster filem, membuat saya terfikir Mojoku Hilang mungkin menjadi naskhah menarik dengan premis hubungan manusia-haiwan yang sudah jarang-jarang tembus di layar. Apa lagi membesar sebagai anak kampung, saya melihat bagaimana lembu sangat dekat dengan ikatan emosi orang di desa juga betapa susahnya hati pengembala kalau lembu (juga kambing) mereka hilang.

Mojoku Hilang merupakan filem debut kepengarahan Min Lim, tentang seekor lembu viral bernama Mojo iaitu maskot penting syarikat tenusu gergasi, Moo Magic Farms, hilang dicuri penduduk Kampung Semerah Padi (KSP).

Mojo dijadikan tebusan memandangkan orang kampung geram Moo Magic mendesak penduduk menjual tanah mereka. Sedangkan, di kampung itu juga mereka mengusahakan ladang lembu dan menjual produk tenusu tempatan sendiri walau mungkin tidak sekaya Moo Magic.

Image from: Mojoku Hilang yang bersepah-sepah

Moo Magic memiliki pekerja serba boleh bernama Adi, jejaka asal Indonesia berpindah ke Malaysia sejak usia 7 tahun bijak merayu orang menjual tanah. Adi diharapkan dapat memujuk kampung terakhir, iaitu KSP untuk menjadi jajahan Moo Magic.

Bagaimanapun, kehampaan mula terbit ketika filem berjalan semakin lama. Mojo, hanya menjadi sebuah selling point poster tapi tidak di jalan cerita. Premisnya bertukar tiba-tiba, memberi fokus kepada konflik tanah KSP dan percintaan Adi dan Ayu. Mojo tidak terlibat dalam menyokong plot (baik konflik atau cinta), kita hampir lupa lembu itu patut menjadi pusat cerita.

Ketika Adi berkata, Mojo dianggap sebagai adik kerana keluarganya menyambut kelahiran lembu itu beberapa tahun lalu, Adi sepatutnya ada ikatan emosi yang lebih dalam kepada Mojo. Tapi ikatan itu tidak nampak dalam filem ini, hanya tipis-tipis sahaja ketika Adi memujuk Mojo bertemu peminat. Tidak nampak pula resah ‘adiknya’ hilang. Tidak nampak lega pula ‘adiknya’ dijumpai.

Saya juga tidak faham mengapa sebab Mojo sangat terkenal. Oleh itu, saya tidak boleh faham mengapa kehilangannya adalah perkara besar. Mungkin juga tidak penting mana, sebab tidak nampak bersungguh pula masing-masing untuk cari lembu viral sedangkan isteri penduduk kampung itu influencer yang semestinya internet savvy.

Image from: Mojoku Hilang yang bersepah-sepah

Oleh itu, pemerhatian saya adalah, filem ini boleh sahaja bergerak walaupun Mojo tidak ada kerana gagal menunjukkan signifikannya untuk menguatkan plot.

Mojoku Hilang tampil dengan banyak subplot, sayangnya tidak ditampilkan kemas, ia bersepah di mana-mana. Belum cukup matang daripada segi pembinaan ‘sebab-akibat’ membuatkan dua jam lebih filem ini terasa sangat memenatkan.

Image from: Mojoku Hilang yang bersepah-sepah

Paling penting melarikan kita daripada jiwa filem, wacana yang boleh dipetik untuk memanjangkan perbincangan selepas filem ini selesai di layar.

Saya juga mencari sebab mengapa seorang lelaki Indonesia diperlukan untuk menguatkan filem ini?

Adakah pasukan pencerita Mojoku Hilang ingin menunjukkan seorang imigran membantu orang menjual tanah kerana dia tidak faham makna sebuah rumah? Tapi seperti pengakuan Adi, mereka berpindah ke Malaysia ketika usianya tujuh tahun kerana mahu cari udara bersih. Adakah Indonesia tidak ada udara bersih?

Image from: Mojoku Hilang yang bersepah-sepah

Ini kerana, walaupun Adipati sudah sedaya upaya berusaha, namun keberadaannya sebagai Adam ketika di kampung sangat kaku, dia nampak sangat tidak selesa bertutur bahasa Melayu sekali gus menurunkan sedikit dinamik filem ini.

Walaupun penulisan jalan cerita filem ini lompong sini dan sana, Mojoku Hilang banyak diselamatkan dengan pelakon pembantunya yang meriah, bermacam ragam. Sangat natural menunjukkan kehangatan dan lawak yang memang diguna orang kampung. Perkara itu setidaknya berjaya dirakam filem ini.

Selain itu, sudah tentu, alasan yang membuat saya bertahan adalah Perlis yang ditampilkan sangat indah dengan mengekalkan audio asal ambien desa seperti hujan, desir angin, bunyi lembu dan ayam. Bagi sebuah filem, Mojoku Hilang belum cukup menyentuh saya. Tapi untuk iklan tahun melawat Perlis, ini mungkin yang terbaik pernah kita ada.

The post Mojoku Hilang yang bersepah-sepah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved