
TEHRAN – Republik Islam Iran dilaporkan telah memuktamadkan pelantikan Mojtaba Khamenei, anak kedua kepada Ayatollah Ali Khamenei, sebagai Pemimpin Agung baharu negara itu.
Keputusan bersejarah itu dibuat oleh Majlis Pakar Iran susulan kematian Ali Khamenei dalam serangan udara bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Februari lalu.
Pelantikan Mojtaba, 56, dilihat sebagai langkah Tehran untuk mengekalkan kesinambungan ideologi garis keras yang dibawa bapanya, selain memberi isyarat bahawa Iran tidak akan tunduk kepada tekanan luar, khususnya daripada pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Pelantikan Di Tengah Konflik Memuncak
Pemilihan Mojtaba dibuat ketika konflik ketenteraan di Asia Barat semakin memuncak.
Majlis Pakar dilaporkan mencapai persetujuan majoriti untuk melantik beliau dengan segera bagi mengelakkan kekosongan kuasa ketika negara itu sedang berdepan keadaan perang.
Agensi berita Reuters melaporkan, walaupun sebelum ini wujud perdebatan mengenai kemungkinan unsur pewarisan kuasa dalam sistem republik Iran, pengaruh kuat Mojtaba dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta penglibatannya dalam urusan pejabat Pemimpin Agung sejak sekian lama dilihat menjadi faktor utama pemilihannya.
Beliau juga dianggap sebagai tokoh paling berpengaruh untuk menyatukan kekuatan ketenteraan dan keselamatan Iran ketika negara itu berhadapan ancaman besar daripada musuh luar.
Pelantikan itu turut dilihat sebagai respons kepada kenyataan Donald Trump sebelum ini yang menyifatkan Mojtaba sebagai calon kepimpinan Iran yang tidak boleh diterima oleh pihak Barat.
Beberapa anggota Majlis Pakar turut menegaskan bahawa antara kriteria penting dalam pemilihan pemimpin baharu adalah berdasarkan pesanan mendiang Ali Khamenei, iaitu individu tersebut mestilah dibenci oleh musuh Iran.
Ketegangan Serantau Dijangka Meningkat
Dengan pelantikan ini, Iran menegaskan bahawa kedaulatan negara itu dalam menentukan kepimpinan tertinggi tidak boleh dipengaruhi oleh sebarang tekanan diplomatik atau ancaman ketenteraan dari luar.
Namun begitu, perkembangan tersebut dijangka akan terus meningkatkan ketegangan di rantau Asia Barat, terutama selepas Israel dan AS memberi amaran akan terus menyasarkan mana-mana individu yang mengambil alih kepimpinan tertinggi Iran.
Di dalam negara pula, Mojtaba dijangka berdepan cabaran besar untuk mengukuhkan legitimasi kepimpinannya ketika Iran masih bergelut dengan tekanan ekonomi serta serangan udara yang berterusan.
Dunia kini memerhati dengan teliti bagaimana corak kepimpinan Mojtaba bakal membentuk hala tuju Iran, sama ada menuju ke arah rundingan atau konflik yang lebih besar di bawah dasar luar Washington yang semakin agresif. – The Malaysian Update
The post Mojtaba Khamenei Sah Pemimpin Agung Baharu Iran appeared first on The Malaysian Update.
