Mokky’s Pizza & Coffee Tampil Dengan Piza Memikat, Citarasa Malaysia

LocalFood
7 Sep 2024 • 11:15 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
The Mokky's Pizza - The Kerabu

Sejak beberapa jenama piza dari luar negara tersenarai dalam senarai boikot demi solidariti untuk Palestin, saya tercari-cari juga jenama piza lain yang mampu memuaskankan selera.

Satu demi satu jenama telah saya cuba dan baru-baru ini saya diperkenalkan dengan Mokky’s Pizza yang beroperasi di Bukit Jelutong, Shah Alam dan Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Saya berkesempatan mencuba menu sempena bulan kemerdekaan mereka, iaitu The Kerabu Pizza dan Tempeh Melt Sticks!  

Kedua-dua menu citarasa rakyat Malaysia ini mungkin kedengaran tidak meyakinkan, namun jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anda perlu rasa terlebih dahulu.

Sebaik sahaja dihidangkan di atas meja, piza yang diinspirasikan daripada makanan tradisi rakyat Kelantan ini seolah memanggil-manggil untuk disuap ke dalam mulut.

Ini kerana ulaman kerabu yang ditabur di atas doh menghasilkan aroma yang cukup membangkitkan selera.

Topping piza meriah dengan ayam panggang, kacang botol, kacang panjang, kubis, bunga kantan, kelapa parut dan tidak ketinggalan sambal pedas yang wajib dihidangkan untuk nasi kerabu.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Mokky's (@mokkyspizza)

Lebih menarik, dohnya juga berwarna biru kerana telah dicampur dengan ekstrak bunga telang.

Paduan ramuan kerabu dan doh yang lembut di dalam dan ranggup di luar inilah yang menjadikan The Kerabu Pizza pilihan tepat untuk pencinta makanan yang sering memburu sesuatu yang berbeza.

Bagaimanapula dengan Tempeh Melt Sticks? Syabas untuk pasukan Mokky’s Pizza kerana anda telah menghasilkan kudap-kudapan citarasa Malaysia yang yummeh!

Saya terpesona dengan kombinasi tempeh dan keju mozzarella yang disalut dengan serbuk roti dan digoreng garing.

Setiap gigitan menghasilkan letusan rasa yang diidamkan ramai. Tempe Melt Sticks juga didatangkan bersama sos bawang karamel pedas untuk melengkapkan hidangan. Namun, ia juga enak dimakan begitu sahaja.

image is not available
The Mokky's Pizza - Melt Tempeh

Piza Gaya New York Yang Asli

Dek kerana baru diperkenalkan dengan jenama ini, saya terpanggil untuk mendapatkan serba sedikit maklumat lanjut tentang mereka. Rupa-rupanya, ia tidaklah terlalu baharu di pasaran.

Ditubuhkan pada tahun 2021 semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) masih dikuatkuasa, Mokky’s Pizza & Coffee pada awalnya beroperasi dari rumah sebelum berkembang menjadi sebuah kedai makan yang digemari ramai.

Salah satu faktor yang meletakkan Mokky’s di tahap sekarang ini ialah kerana kerana komitmennya terhadap kualiti dan piza gaya New York yang asli, sehingga berjaya menambat selera ramai.

Menggunakan bahan-bahan segar yang diperoleh secara tempatan, menu di Mokky’s tidak rumit dan ia menampilkan 11 perisa piza yang unik.

Antara yang menjadi kegemaran ramai ialah adalah Beef Pepperoni, Chicken BBQ, Alfredo Chicken, Mellow Mushroom, dan Fake Margherita, yang semuanya mendapat ulasan positif daripada pelanggan.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Mokky's (@mokkyspizza)

Mokky’s Pizza & Coffee diterajui oleh Muhammad Shahmi Shaharudin, atau lebih dikenali sebagai Mokky yang pernah melanjutkan pelajaran di dalam bidang kejuruteraan di New York dan belajar membuat piza gaya New York dengan menonton YouTube.

Dia turut dibantu oleh pasukannya yang terdiri daripada Umar Abdul Aziz, yang menguruskan perniagaan dan operasi, Muhammad Azfar Abdul Aziz, yang membawa pengalaman sebagai barista dan pengurus kafe, serta hampir sedekad pengalaman dalam F&B, dan Zharif yang menyelia semua kerja pembinaan.

image is not available
Dari kiri - Umar Abdul Aziz, Shahmi (Mokky), Zharif dan Muhammad Azfar Abdul Aziz.

Anda boleh ikuti Mokky’s Pizza & Coffee di akaun Instagram, @mokkyspizza untuk promosi terkini. – Getaran, 7 September 2024

View Original Article