Molotov dibaling ke rumah pelarian Myanmar di Kulai Besar

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 8:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Molotov dibaling ke rumah pelarian Myanmar di Kulai Besar

Polis menyiasat kes beberapa rumah di petempatan pelarian Myanmar di Kulai Besar dibaling molotov pada 1.30 pagi, menyebabkan kebakaran kecil pada pagar.

JOHOR BAHRU: Polis sedang menyiasat kes beberapa buah rumah di kawasan petempatan pelarian Myanmar di sekitar Kulai Besar, Kulai yang dibaling molotov, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kejadian pada 1.30 pagi itu bagaimanapun, hanya menyebabkan kebakaran kecil pada pagar rumah terlibat.

“Tiada sebarang kecederaan atau kerosakan lain dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan hasil siasatan lanjut, pihaknya tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh individu yang tidak berpuas hati dengan dua hantaran video yang tular menerusi Facebook.

Video itu, katanya, memaparkan sekumpulan individu dipercayai pelarian Myanmar mencabar orang Melayu untuk datang ke kawasan Kulai, selain turut mendakwa orang Melayu sebagai pengecut serta tidak berani masuk ke kawasan tersebut.

Ab Rahaman berkata pihaknya turut menerima laporan polis berhubung hantaran video tular berkenaan.

Laporan itu dibuat seorang pelarian Myanmar berumur 30-an yang menafikan penglibatannya dalam dua video tular itu, selain mendakwa gambarnya telah disalahgunakan oleh orang lain untuk menghasilkan video tersebut.

Beliau berkata pihak polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 436, Seksyen 505(b) dan Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ab Rahaman berkata pihak polis memandang serius kejadian berkenaan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati membuat sebarang perlakuan yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian di negeri ini.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu kepada balai polis berhampiran atau menghubungi hotline Polis Johor menerusi talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor 07-2212999.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved