
SETIAP anak punya perjalanan sendiri, dan tidak semua laluan itu mudah.
Namun bagi Maria Danisha Hakim, 18, anak bongsu kepada pasangan selebriti Norman Hakim dan Abby Abadi, langkah yang diatur dengan sabar akhirnya membawa kepada satu momen manis apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini menjadi bukti usaha yang tidak pernah sia-sia.
Danisha bukan sekadar mencatat keputusan baik, tetapi turut membuktikan bahawa kesungguhan mampu mengatasi segala kekangan apabila meraih gred A bagi Matematik, Sains dan Sejarah.
Kejayaan itu juga didorong oleh pendekatan pembelajaran digital melalui platform PTTI yang membantu memperkukuh pemahaman dalam subjek yang sebelum ini dianggap mencabar.

Menurut bapanya, Norman Hakim, kejayaan itu bukan sekadar angka pada keputusan peperiksaan, sebaliknya simbol kepada usaha gigih dan ketabahan anaknya sepanjang tempoh pembelajaran.
“Tahniah atas keputusan SPM 2025 yang sangat membanggakan. Setiap usaha, termasuk pengorbanan senyap yang mungkin tidak disedari sesiapa, akhirnya membuahkan hasil.
"Papa nampak segala usaha dan kekuatan Danisha sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Norman turut berkongsi detik mendebarkan ketika menemani anaknya menunggu keputusan diumumkan.
“Momen duduk bersama di hadapan skrin menunggu keputusan keluar itu sangat mendebarkan.
"Segala emosi, doa dan usaha berkumpul pada satu saat itu,” katanya.

Keputusan cemerlang
Dalam masa sama, Norman menzahirkan penghargaan kepada institusi pendidikan yang membantu membentuk disiplin dan perkembangan akademik Danisha termasuk Abedeen Academy.
Norman juga merakamkan ucapan terima kasih kepada PTTI Group serta tenaga pengajarnya yang berjaya membantu Danisha mengatasi kelemahan dalam subjek tertentu sehingga mampu memperoleh keputusan cemerlang.
“Terima kasih kerana membantu Danisha menukar subjek yang sebelum ini lemah menjadi kekuatan hingga berjaya meraih A.
"Itu bukan sesuatu yang mudah dan Papa sangat bangga,” katanya.
Norman menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap anaknya.

“Danisha tidak perlu memikul segalanya seorang diri. Perasaan dan usaha Danisha sangat bermakna.
"Papa akan sentiasa melihat, menyokong dan percaya padamu,” katanya.
Kejayaan Maria Danisha Hakim ini sekali gus menjadi inspirasi kepada pelajar lain bahawa usaha konsisten, sokongan keluarga serta bimbingan yang tepat mampu membawa kepada kejayaan cemerlang dalam akademik.


