
MONKEYPOX atau cacar monyet menjadi wabak yang dibimbangi di Malaysia. Elak jangkitan dan berwaspada, wanita jangan ketinggalan mengambil tahu mengenainya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan,jangkitan monkeypox sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC)).
Baca juga: Asalnya hanya jangkiti monyet di Afrika, ini cara cacar monyet menular dan cara mengelakkannya
Ia susulan peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara-negara bukan endemik monkeypox yang memenuhi tiga kriteria PHEIC iaitu kesan kejadian kepada kesihatan awam, kejadian luar jangka dan risiko penularan rentas sempadan dan bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan ini.

Pada 17 Jun 2022, sebanyak 2,103 kes monkeypox dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian.
Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian dan melibatkan 74 buah negara pada 22 Julai 2022. Justeru wanita, perlu sentiasa waspada tentang penularannya.
KEMATIAN AKIBAT MONKEYPOX
Kadar fataliti kes monkeypox adalah 0.03 peratus. Kes monkeypox pertama kali dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 15 Mei 2022 dan berlaku di beberapa buah negara yang bukan endemik penyakit ini.
Menurut laporan diterbitkan oleh WHO, pada 23 Julai 2022, penularan virus monkeypox ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual.
Ia turut terjadi kepada lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan individu transgender.
Baca juga: Bahaya! Wabak Salmonella dalam produk coklat Kinder menular di 11 negara. 10 fakta berkaitan

Namun demikian, penyakit ini bukanlah penyakit bagi kumpulan ini secara ekslusif kerana ia boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan.

CARA JANGKITAN VIRUS MONKEYPOX
• Virus monkeypox boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping (scab), ataupun cairan daripada ruam tersebut.
• Transmisi virus juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti. Sama ada dengan cara digigit atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan hasil produk haiwan berkenaan.
• Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan ruam ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan.
Baca juga: Kanak-kanak derita ruam berair gara-gara sentuh pokok beracun, berikut 8 fakta mengenainya

• Kes monkeypox boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya ruam pada kulit, sehingga 21 hari dari bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping (scab) dan pesakit tidak lagi bergejala.
• Kes jangkitan monkeypox boleh pulih tanpa sebarang rawatan. Rawatan yang diberikan adalah bagi merawat gejala yang dialami oleh pesakit.
Semua pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara (travellers card) dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan monkeypox akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan monkeypox dan status kesihatan.

Pengembara-pengembara yang tiba dari negara-negara terbabit dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan monkeypox untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
8 GEJALA MONKEYPOX
Wanita perhatian, gejala-gejala monkeypox seperti berikut sekiranya berlaku kepada diri atau ahli keluarga;
• Demam
• Keletihan
• Sakit kepala
• Ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain.
• Lenguh tubuh badan
• Sakit bahagian belakang badan atau sendi
• Kejang otot
• Pembengkakan kelenjar limfa

KKM menyeru individu yang mempunyai gejala monkeypox untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Elakkan kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.
Hati-hati apabila ke premis menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti yang berisiko. Amalkan kebersihan diri dan persekitaran. Pemilik perniagaan perlu memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala monkeypox dan tiada ruam makulapapular.
Sekiranya terdapat pelanggan yang mempunyai gejala tersebut, nasihatkannya untuk segera mendapatkan rawatan.
Manakala pekerja yang bergejala dinasihatkan untuk tidak hadir bertugas dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
Sumber: Twitter KKM
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.
The post Monkeypox diisytihar wabak di Malaysia, 18 info ini wanita perlu tahu appeared first on Sinar Plus.


