Monsun Timur Laut diramal ‘hentam’ Malaysia 2 minggu lagi

LocalEnvironment
29 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Monsun Timur Laut diramal ‘hentam’ Malaysia 2 minggu lagi

KUALA NERUS – Monsun Timur Laut (MTL) yang kebiasaannya bermula akhir Oktober hingga awal November depan berkemungkinan boleh berlaku awal sedikit tahun ini berikutan fenomena Super El Nino.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang berkata, fenomena iklim ekstrem itu juga boleh menyebabkan musim tengkujuh kali ini berakhir lebih lewat berbanding lazimnya pada Mac.

“Kalau ikut kajian lepas, MTL biasanya akan tiba lebih awal dan berakhir lebih lambat pada tahun terjadinya El Nino.

“Dijangkakan perkara sama juga terjadi (tahun ini). Kejadian Super El Nino memang akan mempengaruhi MTL,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Fenomena Super El Nino yang dijangka berlaku pada November dan Disember depan dan boleh berlarutan sehingga tahun hadapan dijangka mengubah corak cuaca global ekoran pemanasan suhu permukaan laut di tengah dan timur Lautan Pasifik.

Ujar beliau, begitupun risiko berlaku banjir besar pada musim tengkujuh kali ini lebih rendah ekoran taburan hujan diramal akan berkurangan disebabkan fenomena Super El Nino.

Namun, jelas beliau, faktor banjir musim tengkujuh bukanlah bergantung kepada Ayunan Selatan El Nino semata-mata tetapi turut dipengaruhi luruan monsun, lekukan Borneo dan Ayunan Madden-Julian.

“Situasi sepanjang tempoh MTL nanti akan ditentukan keada­an semasa yang bakal berlaku pada waktu itu yang sukar diramal tepat ketika ini,” katanya.

Katanya, ketibaan MTL boleh dilihat menerusi beberapa indikator seperti perubahan arah ­angin yang bertiup secara berte­rusan dari arah timur laut dengan kelajuan kencang.

“Sepanjang tempoh MTL luruan udara sejuk dari pedalaman Siberia, Rusia juga akan mema­suki perairan Laut China Selatan.

“Ia membawa beberapa episod hujan lebat berterusan terutama di Pantai Timur, Johor Timur, Sabah dan Sarawak. Selain itu, perairan Laut China Selatan akan bergelora dan kemunculan ombak besar dengan lebih kerap serta kenaikan paras laut berikutan tiupan angin kencang,” katanya.

Ujarnya, walaupun risiko banjir besar rendah ekoran taburan hujan rendah semasa fasa MTL di­sebabkan Super El Nino, ia bukanlah berita yang terlalu baik malah sebenarnya perlu dirisaukan.

“Kekurangan taburan hujan itu dibimbangi menjejaskan takungan air di empangan-empangan utama di seluruh negara.

“Hujan berlebihan yang bia­sanya dibawa pada tengkujuh walaupun amat memudaratkan tetapi ia tetap merupakan sumber air penting dalam pengisian empangan kita. Malaysia pernah menghadapi fenomena El Nino yang sangat kuat pada 1983, 1997 dan 2015,” tambahnya.

The post Monsun Timur Laut diramal ‘hentam’ Malaysia 2 minggu lagi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved