Moratorium PKS: Kerajaan Bincang Dengan Kementerian Berkaitan - PM

LocalPolitics
12 Sep 2022 • 5:03 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membincangkan cadangan pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama yang masih bergelut untuk memulihkan kedudukan mereka pasca COVID-19. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan akan dibuat dengan kementerian berkaitan iaitu dan Kementerian Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut. 

“Kita bincang dahulu. Saya tak boleh jawab macam itu sahaja. 

“Kita akan bincang dengan Menteri KUSKOP (Tan Sri Noh Omar) dan Kementerian Kewangan,” katanya ringkas kepada pemberita. 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi  Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini. 

Baru-baru ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) menyarankan institusi perbankan mempertimbangkan cadangan pemberian moratorium kepada PKS terutama mereka yang masih bergelut untuk pulih pasca COVID-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sudah tiga kali mesyuarat MPN membincangkan mengenai PKS, yang antara lainnya memohon bantuan kewangan memandangkan ada antara mereka masih gagal memulihkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, ini ditambah pula dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini yang dilihat bukan saja memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi, malah prestasi PKS yang kini menyumbang 90 peratus kepada aktiviti ekonomi negara. - Getaran, 12 September 2022