MOSTI Sambut Baik Pengumuman KPM Galak Murid Sertai Lawatan Pendidikan

3 Jul 2023 • 5:37 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

PUTRAJAYA, 3 Julai 2023 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik inisiatif dan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggalakkan sekolah menganjurkan lawatan pendidikan bagi murid-murid sebagai sebahagian pengukuhan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sehubungan dengan itu, MOSTI sedia menawarkan Pusat Sains Negara (PSN) Kuala Lumpur, PSN Cawangan Wilayah Utara (Alor Setar) dan Planetarium Negara sebagai destinasi pilihan menarik kepada rombongan lawatan rasmi pendidikan murid sekolah.

Justeru, MOSTI sedia menawarkan tiket masuk percuma ke PSN dan Planetarium Negara bagi pendidikan rasmi sekolah sebagai usaha bersepadu untuk menjayakan dasar kerajaan mendekatkan sains dan teknologi kepada rakyat serta menyemai minat pelajar kepada subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Planetarium Negara yang kini dalam proses pembaikan untuk keselesaan pengunjung dijangka akan siap tidak lama dan akan dibuka semula kepada pengunjung pada bulan Ogos ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang, berkata “saya percaya MOSTI juga memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran STEM secara tidak formal (informal learning) melalui kemudahan Pusat Sains Negara dan juga Planetarium Negara.”

“Diharap inisiatif ini akan dapat memupuk minat dalam kalangan pelajar sekolah khususnya terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi (STI),” kata beliau.

MOSTI menyediakan kemudahan PSN dan Planetarium Negara dengan 1001 pengalaman sains dan teknologi kepada pengunjung, terutama golongan pelajar sebagai usaha mendekatkan sains, teknologi dan inovasi kepada rakyat.

PSN juga menyediakan pelbagai pengalaman sains dan teknologi di galeri pameran dalaman (indoor) dan zon pameran luar (outdoor) yang menyediakan pelbagai barangan pameran dan aktiviti seperti sains fizik, sains hayat, sains kimia, sains mekanikal, sains aeronautik dan sains angkasa untuk pengunjung memahami sains dan teknologi dalam kehidupan.

Pengunjung PSN juga berpeluang ke galeri pameran bertema, termasuk pameran Obskura XR untuk meneroka teknologi realiti maya dan pameran zaman Encounter Dinosour mengenai fakta sains dan alam prasejarah. Pameran dengan kerjasama rakan strategik luar ini tidak termasuk dalam.tawaran tiket percuma kepada pelajar.

Di Planetarium Negara pula, MOSTI menyediakan pameran untuk pelajar meneroka pengalaman astronomi dan sains alam angkasa lepas yang kini menjadi sebahagian kegunaan kehidupan harian manusia di serata pelosok dunia.

Planetarium Negara menyediakan pelbagai galeri, sesi demonstrasi sains dan aktiviti untuk merangsang minat pengunjung kepada kehebatan ciptaan astronomi dan sains angkasa lepas yang sangat berguna dan bermanfaat kepada pelbagai aktiviti sosial, industri dan ekonomi negara.