MOT nafi perkhidmatan rel Lembah Klang teruk, akui kelemahan Prasarana sampai maklumat

LocalPolitics
6 Dec 2025 • 4:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony (dua, kiri) ketika hadir pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral pada Sabtu. Foto Bernama

SEREMBAN – Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan bahawa perkhidmatan rel di Lembah Klang berada pada tahap teruk berikutan gangguan yang didakwa kerap berlaku.

Menterinya, Anthony Loke berkata, dari segi teknikal, jumlah kerosakan dan gangguan telah berkurangan secara mendadak berbanding dua hingga tiga tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengemukakan maklumat lengkap dalam waktu terdekat.

“Prasarana akan memberikan laporan lengkap kepada media kerana dari segi jumlah kerosakan dan gangguan, ia telah bertambah baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kita mengakui memang ada gangguan, tetapi untuk mengatakan keadaan kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini adalah tidak tepat berdasarkan angka dan fakta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Berorentasikan Transit Seremban Sentral di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan khas Sinar Harian mengenai keluhan pengguna LRT, MRT dan monorel di Lembah Klang yang mendakwa gangguan perkhidmatan kerap berulang.

Menurut Anthony, kerajaan melalui Prasarana telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk penyelenggaraan serta menambah tren baharu.

"Kita pun baru menempah beberapa set tren baharu bagi laluan Kelana Jaya sebagai sebahagian usaha peningkatan perkhidmatan.

“Saya berharap penambahbaikan ini dapat diteruskan. Tetapi ada faktor luar jangka yang perlu kita hadapi, terutamanya kerana trek kita terdedah kepada cuaca, hujan lebat boleh menyebabkan pokok tumbang atau dahan jatuh ke atas trek dan ini menjejaskan operasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui Prasarana perlu memperbaiki sistem komunikasi dengan pengguna, terutama ketika berlakunya gangguan perkhidmatan.

“Saya faham pengguna berasa tidak puas hati apabila berlaku gangguan. Salah satu kelemahan Prasarana ialah komunikasi yang kadang kala tidak sampai kepada orang ramai.

“Pengguna tidak tahu punca gangguan, berapa lama ia akan berlarutan dan bagaimana mereka boleh mendapatkan alternatif pengangkutan lain. Itu perlu diperbaiki,” jelasnya.

Anthony turut menafikan bahawa gangguan berpunca daripada usia tren yang dikatakan sudah terlalu lama.

“Ini bukan soal usia tren. Selagi ia diselenggara mengikut jadual, tren boleh beroperasi sehingga 30 tahun. Tetapi ada yang ditamatkan lebih awal berdasarkan analisis kos faedah.

"Jika penggantian lebih menguntungkan operasi, kita gantikan dengan tren baharu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan tidak sesekali berkompromi mengenai aspek keselamatan pengguna dan isu tren lama tidak timbul kerana penyelenggaraan dilakukan secara berkala.

View Original Article