MOT perhalusi dasar fleksibel, galak budaya 'carpool' e-hailing

LocalPolitics
9 Apr 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anthony ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Bulan April pada Khamis. Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang memperincikan pelaksanaan dasar lebih fleksibel bagi membolehkan industri e-hailing memperkenalkan perkhidmatan perkongsian kenderaan dengan segera.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kos pengguna menerusi perkongsian kenderaan dalam perjalanan.

“Cadangan itu bukan baharu, sebelum ini beberapa syarikat e-hailing telah melakukan pembuktian konsep bagi perkhidmatan berkenaan.

“Kita akan melaksanakan dasar yang lebih anjal untuk membenarkan industri tersebut menggunakan pembaharuan ini.

“Cara ini dapat meringankan beban atau mengurangkan kos perjalanan. Kita berharap ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana pembuktian konsep sudah ada, cuma perlu kita tingkatkan sahaja,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan MOT di sini, pada Khamis.

Beliau menegaskan, menjadi tanggungjawab MOT untuk memastikan sistem pengangkutan awam negara sentiasa berfungsi dengan baik, boleh dipercayai serta memberikan tahap keselesaan yang tinggi.

Menurutnya, perubahan kaedah dan pindaan peraturan sedia ada perlu dilakukan supaya sistem pengangkutan negara lebih cekap tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan undang-undang.

“MOT komited memperkasakan penggunaan pengangkutan awam di seluruh negara, khususnya KTM, ETS dan MRT bagi memastikan kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.