MoU LUC Dan Cengild Perkukuh Pendidikan Sektor Kejururawatan

LocalTechnology
7 Jan 2025 • 4:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Amin Mohd Shukor (empat, kiri) dan Thilashiny Letchumanan (empat, kanan) pada majlis memeterai MoU hari ini - Gambar LUC

KUALA LUMPUR - Permintaan tinggi dan kompetitif sektor kejururawatan mendorong kerjasama strategik dimeterai antara Lincoln University College (LUC) dan Cengild G.I. Medical Centre.

Kerjasama berkenaan yang dimuktamadkan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini antara lain bertujuan memperkukuh pendidikan dan latihan dalam bidang berkenaan. 

Naib Presiden Hal Ehwal Korporat dan Hubungan Serantau Universiti Kolej, Amin Mohd Shukor berkata, kerjasama terbabit ialah usaha penting ke arah menjadikan LUC sebagai pusat rujukan dan hab utama bagi melahirkan tenaga pakar kejururawatan terlatih di negara ini.

Menurut beliau, MoU tersebut mencakupi tiga fokus yang melibatkan tiga komponen utama termasuk iaitu Penajaan Pelajar Diploma Kejururawatan. 

“Pihak Cengild akan menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak di bawah perjanjian ditetapkan dan mereka juga bakal mengikuti Latihan Klinikal serta Penggunaan Fasiliti Hospital.

“Pelajar akan menerima pendedahan praktikal di hospital yang terletak di bawah pengurusan Cengild bagi memastikan mereka memenuhi keperluan Lembaga Kejururawatan Malaysia dan Penggunaan Identiti Jenama Hospital,” katanya di sini hari ini. 

Jelas Amin, LUC akan memastikan pelajar sentiasa mematuhi etika profesional semasa latihan klinikal. 

“LUC juga akan bekerjasama dengan Cengild dalam menyelaraskan jadual latihan serta menyimpan rekod akademik pelajar. 

“Di samping itu, LUC akan memastikan insurans mencukupi untuk melindungi pelajar dan staf semasa tempoh latihan klinikal,” katanya. 

Amin mengulas lanjut, kerjasama berkenaan adalah langkah strategik untuk menjadikan LUC sebagai pusat kecemerlangan dalam menyediakan tenaga kejururawatan yang berkemahiran tinggi

“Melalui gabungan pendidikan berkualiti dan pengalaman praktikal, kami yakin dapat menyumbang kepada keperluan tenaga kerja sektor kesihatan negara. 

“Sebagai rakan kongsi, Cengild komited untuk memastikan pelajar bukan sahaja mendapat pendidikan berkualiti tetapi juga pengalaman industri yang relevan,” katanya. 

Beliau menarik perhatian, pusat perubatan terbabit juga komited memantau perkembangan akademik pelajar secara berkala dan menyediakan insurans bagi melindungi keselamatan awam dan liabiliti hospital sepanjang tempoh MoU. 

Selain Amin, turut hadir pada majlis menandatangani MoU tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Lincoln University, Aslin Hafiza Ali, Pengarah Kerjasama &  Klinikal Sekolah Kejururawatan & Sains Kesihatan Gunaan, Razlyn Amieza Aron dan Pengurus Sumber Manusia Cenglid G.I Medical Centre, Thilashiny Letchumanan. 

Amin memberitahu, MoU itu diharapkan mampu melahirkan generasi baharu jururawat yang mampu memberikan perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia. 

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh bidang kejururawatan dan menyumbang kepada pembangunan sektor kesihatan di Malaysia,” katanya. - Getaran, 7 Januari 2025

View Original Article