
SHAH ALAM - Moyang kepada dua cicit, sekali gus menjadi peserta tertua tidak melepaskan peluang menyertai Moto Show di Karnival Pendidikan Sinar Bestari (KPSB) pada Ahad.
Peminat motosikal tegar, Kamaruddin Wahid, 78, atau lebih dikenali sebagai Cik Din berkata, dia mula meminati dunia permotoran sejak 1962 sehingga sekarang.
Menurutnya, dia sering bergaul dengan anak muda yang mempunyai hobi sama sepertinya dan menjelajah ke seluruh negeri termasuk Thailand sebanyak tiga kali.
"Untuk acara Moto Show ini, saya bawa motosikal yang dibeli pada 1998 iaitu Yamaha RD 250.
“Dalam kalangan sama umur dengan saya, sudah tiada yang larat menunggang motor, jadi saya sertai golongan muda pergi pusing satu Malaysia termasuk Thailand.
“Jika ada acara permotoran pada setiap bulan atau minggu memang saya akan masuk,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Kumpulan Karangkraf pada ahad.
Kamaruddin memaklumkan, sehingga kini, dia mempunyai empat koleksi motosikal daripada jenama Yamaha RX-Z dan Kawasaki, termasuk Vespa.
Tambahnya, dia mengambil keputusan untuk menyertai acara seperti itu kerana ingin memenuhi hobi dan masa lapang kerana tiga anaknya sudah pun mendirikan rumah tangga.
“Tiga orang dah berkahwin dan ada anak-anak, jadi saya mempunyai lapan cucu dan dua cicit sekarang,” ujarnya

