MP Ipoh Timur, Howard Lee buat tafsiran sendiri terhadap ayat Al-Quran akan disiasat oleh Bukit Aman

23 Sep 2023 • 12:18 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How, yang membuat tafsiran sendiri terhadap ayat Al-Quran, menimbulkan rasa kurang senang orang awam.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jalinan Bersatu Sahabat (JABAT) Perak tampil membuat laporan polis terhadap Howard Lee di Balai Polis Manjoi.

JABAT menggesa Howard Lee disiasat dan dikenakan tindakan kerana perbuatannya dianggap menghina Islam. Memandangkan ahli parlimen itu bukan Muslim mentafsirkan ayat 59 surah an-Nisa dalam Al-Quran. Sekali gus menyentuh perkara 3R (Agama, Raja dan Kaum).

Howard Lee kritik Hadi Awang, bawa fahaman Khawarij

Dalam video itu juga, Howard Lee mengkritik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti berkenaan yang didakwa membawa fahaman Khawarij, yang mengkafirkan umat Islam lain.

“Ustaz-ustaz dan kawan-kawan yang kuat mengaji pernah ceritakan tentang fahaman Khawarij dengan sikap takfirinya yang suka kafirkan orang dan hukum secara semberono orang masuk syurga atau neraka.

“Ustaz-ustaz fahamkan yang Haji Hadi dan segelintir pemimpin PAS sebenarnya sangat jelas bawa fahaman Khawarij, yang keluar dari ketaatan kepada Ulul Amri, keluar dari ketaatan kepada Saidina Ali (sebagai khalifah).

Jangan ingat saya bukan Islam, saya tak baca. Bila ada orang berilmu beritahu, kami baca, kaji dan tahu,” katanya dalam video tersebut.

‘Propaganda nak angkat Islam, sebenarnya nak meraih undi’ – Howard Lee

Howard Lee kemudian memetik sebahagian daripada ayat berkenaan dan mengaitkannya dengan usaha PAS dalam melawan kerajaan. Sedangkan kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang sah dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, memperkotak-katikkan kerajaan sedia ada ini telah meniup roh Khawarif dalam kalangan rakyat Malaysia. Hakikatnya semua propaganda nak mengangkat Islam, mengangkat agama, bangsa dan negara ikut mereka semata-mata. Sebenarnya nak meraih undi,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan menerima laporan itu.

Siasatan juga akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memandangkan laporan pertama berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.