MP Kota Belud mohon perbahasan tergempar

LocalPolitics
19 Oct 2025 • 9:30 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis (gambar) telah memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil pendapatan Persekutuan.

Beliau berkata, kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan hak perlembagaan Sabah selama hampir lima dekad adalah satu tindakan yang menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Isnaraissah berkata, langkah itu diambil sebagai tanggungjawab beliau untuk menegakkan Perlembagaan serta memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran perlembagaan yang berlarutan itu.

“Sebagai Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, tindakan yang menyalahi undang-undang dan melampaui kuasa ini mesti dibahaskan dan dijelaskan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

Beliau turut menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti agar menyokong usul tersebut kerana isu ini bukan lagi soal politik tetapi soal mempertahankan keseimbangan perlembagaan yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Ini bukan retorik politik tetapi hakikat perlembagaan yang mesti kita junjung demi mengekalkan keharmonian negara,” katanya.

Usul Isnaraissah itu dikemukakan sehari selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil pendapatan Persekutuan yang diperoleh daripada negeri itu.

Mahkamah turut membatalkan perjanjian geran khas 2022 antara kerajaan negeri dan Persekutuan, dengan menyifatkannya sebagai tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua kerajaan itu diarahkan supaya menyemak semula dan memuktamadkan formula hasil baharu dalam tempoh 180 hari.

View Original Article