MP PN Cadang Ubah Suai Tugu Negara, Jadikan Hidung Tak Mancung & Badan Pendek Mirip Orang Asia [Video]

LocalPolitics
7 Nov 2025 • 10:28 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Tugu Negara merupakan lambang kebanggaan Malaysia. Manakan tidak, tugu yang siap dibina pada 8 Februari 1966 merupakan simbolik perjuangan dan pengorbanan lebih 11,000 perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1939-1945) dan semasa Darurat (1948-1960).

Namun pada masa kini, ia juga menjadi antara tempat menarik yang wajib dikunjungi oleh pelancong tempatan dan luar negara.

Oleh itu, tidak hairanlah pelbagai inisiatif serta penambah baikan yang dibuat oleh kerajaan dalam melindungi monumen ini.

MP PN Cadang Ubah Suai Tugu Negara, Lebih Menggambarkan Askar Tempatan

Semalam (6 November), Ahli Parlimen (MP) dari Perikatan Nasional (PN), Kalam Salan menjadi perhatian dek kerana cadangannya agar kerajaan mengubah suai Tugu Negara.

Jelas MP Sabak Bernam itu, pengubahsuaian itu dibuat bagi menggambarkan askar tempatan yang berjuang demi kemerdekaan negara.

Ini kerana menurut Kalam, monumen tersebut yang mempunyai tujuh patung lelaki lebih mirip kepada askar Eropah.

“Ia simbol kemerdekaan negara kita kerana di sana kalau kita lihat patung yang memegang bendera itu adalah wira negara kita, ia (adalah) simbol.

“Tapi kalau kita tengok mukanya, hidungnya mancung macam orang Eropah, kenapa tidak ditukar kepada saiz (ketinggian mereka menjadi) lebih pendek-pendek macam orang Asia, orang Malaysia?

“Muka hidung (kita) pun tak mancung sangat macam saya, kan? Itu macam kita mendewa-dewakan pejuang daripada Eropah yang menjajah kita.

“Jadi saya cadangkan, akan datang kalau nak ubah suai, ubah suai Tugu Negara yang begitu menimbulkan semangat kenegaraan, keperwiraan kepada negara kita kepada patung-patung yang mirip orang Asia,” jelasnya.

Persoal Kerajaan Tidak Menyenaraikan Tugu Negara Dalam Senarai Projek Baik Pulih

Kalam mengemukakan cadangan tersebut sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Pada sesi itu juga, dia meminta penjelasan mengenai rancangan perbelanjaan RM600 juga bagi kerja baik pulih melibatkan beberapa bangunan bersejarah termasuk Carcosa Seri Negara.

Malah, Kalam turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak memasukkan Tugu Negara dalam senarai tersebut.

“Saya faham RM600 juta daripada Khazanah itu bukan untuk Carcosa dan Seri Negara, ia juga melibatkan stesen keretapi, bangunan Sultan Abdul Samad.

“Tetapi, maklumat penjelasan daripada YB Timbalan Menteri Kewangan bahawa Carcosa itu akan dijadikan kafe untuk dapatkan pulangan dianggarkan perbezaannya ini, menelan belanja sebanyak RM200 juta.

“Saya terfikir kalau buat kafe, berapa cawan kopi nak jual untuk dapatkan RM200 juta tu balik semula. Jadi kafe yang macam mana ini? Jadi itu pun perlu penjelasan. Nak jual daun ketum tidak boleh pula kan?” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Khazanah Nasional Berhad akan menanggung kos sebanyak RM600 juta bagi kerja pemulihan di Carcosa Seri Negara dan enam blok bangunan di Kompleks Sultan Abdul Samad.

Info Tentang Tugu Negara

Sebagai info, Tugu Negara setinggi 15 meter direka oleh pengukir dari Austria bernama Felix de Weldon.

Lakaran pertama Tugu Negara ini telah dibuat pada tahun 1958 di Kem Gunung Bongsu, Pulau Pinang yang membabitkan beberapa anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja Ke Lima (5 RAMD).

Salah seorang daripada anggota terlibat menjadi model awal lakaran patung adalah Prebet Zainal Buyung yang merupakan anak tentera kelahiran Slim River, Perak.

Tugasnya adalah yang menjadi model di bahagian tengah yang memegang bendera Malaysia.

Seorang lagi anggota terlibat adalah Mat Shupur Khamis dari Kem Askar Sungai Besi. Mat Shupur pada waktu itu diberikan watak sebagai patung yang terbaring paling bawah.

Memetik Berita Harian, Mat Shupur perlu berada dalam satu posisi selama lebih setengah jam.

“Terpaksa keras saja. Watak saya pula sebagai patung yang terbaring di bawah sekali, bayangkan selama setengah jam itu saya ditindih oleh rakan-rakan di atas.

“Tapi disebabkan jiwa dan semangat ketika itu sebagai seorang askar, kami kena bertahan walaupun ia hanya untuk mengambil sekeping gambar saja. Disiplin sebagai seorang askar tetap perlu dijaga,” katanya.

Jelasnya lagi, gambar tersebut kemudian dihantar ke luar negara untuk diukir menggunakan gangsa oleh Felix.

Tugu Peringatan Negara atau lebih dikenali dengan nama Tugu Negara adalah lambang kebanggaan negara. Ia adalah simbolik…

Posted by Kementerian Pertahanan Malaysia on Monday 25 July 2022

Baca Artikel Berkaitan:

5 Tempat Menarik Yang Boleh Anda Kunjungi Bersama Anak-Anak Sempena Hari Kemerdekaan