MP Tuaran persoal kelewatan berulang Pan Borneo di Sabah

LocalPolitics
28 Feb 2026 • 3:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, mempersoalkan alasan kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, yang sering dikaitkan dengan kegagalan kontraktor.

Beliau menegaskan bahawa jika kegagalan kontraktor dijadikan alasan utama, maka persoalan yang lebih besar perlu dijawab oleh kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan Malaysia yang bertanggungjawab dalam proses pemilihan dan pelantikan syarikat terlibat.

“Jika kegagalan kontraktor menjadi alasan, bukankah pemilihan dan pelantikan itu di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan? Apakah kriteria yang digunakan untuk memilih kontraktor-kontraktor tersebut?,” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu penyempurnaan projek Lebuhraya Pan Borneo, namun pelaksanaannya masih tertangguh bertahun-tahun.

Madius turut menuntut kerajaan menyatakan dengan jelas kedudukan kewangan kontraktor-kontraktor yang terlibat, termasuk kekuatan aliran tunai mereka bagi memastikan projek tidak terus berdepan risiko kelewatan akibat masalah kewangan syarikat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli itu turut mempersoalkan kelulusan tambahan sebanyak RM7.938 bilion di bawah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2025.

“Daripada jumlah hampir RM8 bilion tambahan ini, berapa yang benar-benar sampai ke Sabah dan Sarawak?,” katanya.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan suntikan dana dan pinjaman besar yang diberikan kepada syarikat-syarikat di Semenanjung, dan bertanya sama ada pernah sebuah syarikat di Sabah menerima bantuan kewangan sedemikian ketika berdepan kesukaran.

“Saya ingin memberi perhatian kepada pinjaman besar yang diberikan kepada entiti korporat, termasuk Vantris Energy Berhad (dahulunya dikenali sebagai Sapura Energy Berhad) hampir RM480 juta, serta EKVE Sdn Bhd sebanyak RM135 juta.

“Saya ingin bertanya, pernahkah sebuah syarikat di Sabah diberi bantuan kewangan seperti apa yang diberikan kepada syarikat-syarikat di Semenanjung?,” soalnya.

Menurut beliau, jika projek di Semenanjung boleh menerima campur tangan fiskal bagi memastikan kelangsungan, maka keadilan pengagihan juga mesti dizahirkan apabila melibatkan projek infrastruktur kritikal di Sabah dan Sarawak, khususnya yang menyentuh kepentingan rakyat secara langsung.