
KUALA SELANGOR, 25 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menyemai 33,333 anak benih berembang dalam tempoh 3 jam 33 minit hari ini.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata program Malar Hijau dengan kerjasama Petron Malaysia (Petron) di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini sempena sambutan ulang tahun ke-3 pihak berkuasa tempatan itu sebagai perbandaran.

“Tahniah saya ucapkan, kita amat menghargai inisiatif MPKS dan Petron dalam menganjurkan program seumpama ini yang dilihat amat bagus untuk memulihara alam sekitar.
“Semoga dengan penanaman pokok ini dapat membantu mengekalkan habitat kelip-kelip di Kuala Selangor sekali gus meningkatkan lagi populasi serangga ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di sini hari ini.

Jamaliah menyeru semua agensi kerajaan dan swasta termasuk rakyat untuk menyahut seruan Kerajaan Negeri yang menyasarkan 26 juta pokok ditanam dalam tempoh lima tahun.
“Saya harap inisiatif MPKS dan Petron ini juga wajar dicontohi semua pihak dalam usaha membantu Kerajaan Selangor mencapai sasaran 26 juta pokok dalam tempoh lima tahun.
“Selain menanam pokok di paya bakau atau hutan, masyarakat juga boleh membuat kebun komuniti di kawasan kediaman masing-masing. Dengan cara ini dapat mewujudkan suasana persekitaran semula jadi yang segar dan hijau,” katanya.

Terdahulu, Jamaliah turut merasmikan Rumah Hijau sumbangan Petron untuk proses semaian benih pokok berembang dan turut melepaskan 3,333 anak ikan ke dalam sungai, di sini.
Seramai 500 peserta terdiri dalam kalangan kakitangan MPKS, Petron, badan bukan kerajaan dan pelajar sekolah turut bersama melaksanakan penyemaian benih pokok berembang.

The post MPKS-Petron semai 33,333 anak benih berembang, tingkat populasi kelip-kelip appeared first on Selangorkini.
