MPL: Selangor Red Giants yakin kekal dominasi, buru kejuaraan kali keempat

Gaming
12 Sep 2025 • 11:01 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG.OG) menyatakan keyakinan tinggi untuk merangkul kejuaraan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia buat kali keempat berturut-turut dalam musim baharu yang akan bermula esok.

Ketua jurulatih SRG.OG Michael Angelo Boccado atau lebih dikenali sebagai Arcadia berkata persiapan rapi telah dilakukan dengan menekankan fokus dan konsistensi bagi mempertahankan kejuaraan.

“Musim ini lebih mencabar kerana banyak pasukan menambah pemain baharu dan kakitangan jurulatih dan setiap pasukan berhasrat untuk melayakkan diri ke siri M, menjadikan musim ini lebih sengit dan kompetitif,” katanya ketika ditemui Bernama sempena pra-pembukaan saingan MPL musim ke-16 semalam.

Daripada segi kekuatan mental, Arcadia percaya pengalaman lalu menjadi aset utama SRG.OG dalam mengharungi tekanan kejohanan.

“Kami merupakan pasukan yang telah melalui pelbagai pengalaman, termasuk berada di puncak kejayaan dan mengalami kekalahan berturut-turut. Jadi, kami tahu apa yang diperlukan untuk mempunyai mentaliti yang kuat.

“Musim ini pasti memerlukan usaha yang tinggi untuk mempertahankan kejuaraan, tetapi kami yakin mampu melakukannya. Kami sentiasa menyasarkan sesuatu yang mampu dicapai dan tahu apa yang diperlukan untuk mencapainya,” katanya.

SRG.OG juga memberi bayangan bahawa mereka telah merangka pelbagai strategi baharu dan bersedia menghadapi perubahan meta permainan yang dijangka berlaku minggu hadapan.

Sementara itu, pemain SRG.OG, Hazziq Danish Mohamad Rizwan atau Stormie, yakin dengan kemampuan pasukannya untuk mengekalkan rekod kejuaraan MPL

“Kami rasa mampu mengekalkannya tetapi tidak mahu terlalu selesa. Kami akan terus berjuang,” katanya.

Sebagai rekod, SRG.OG merupakan pasukan pertama yang memenangi MPL selama tiga musim berturut-turut (ke-13, ke-14 dan ke-15).

- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved