amree19/11/2026 - 13:06 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov — Dakwaan minyak masak sawit import dicampur dengan bekalan tempatan sebelum dilabel semula untuk dieksport sebagai produk Malaysia kini dalam siasatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), susulan aduan rasmi berhubung aktiviti itu di Pelabuhan Klang, Selangor.
Agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) tersebut berkata, siasatan giat dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan serta mengenal pasti sama ada terdapat pelanggaran undang-undang, peraturan tertentu atau syarat pelesenan yang terletak dalam bidang kuasanya.
Siasatan tersebut merangkumi penelitian rekod dan dokumen berkaitan aktiviti import, pemprosesan, penyimpanan serta eksport minyak sawit oleh pihak yang terlibat, termasuk semakan silang rekod pencampuran dan dokumen penghantaran eksport bagi mengesan sebarang percanggahan maklumat.
Menurut MPOB, aktiviti pencampuran adunan antara minyak sawit dan produk yang berasaskan sawit merupakan sebahagian daripada proses industri serta masih dibenarkan, namun tertakluk kepada pematuhan syarat lesen, standard kualiti selain peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
"Bagaimanapun, sebarang tindakan memberikan maklumat tidak benar atau mengelirukan pihak berkuasa mengenai negara asal sesuatu produk merupakan perkara serius kerana boleh menjejaskan integriti perdagangan dan reputasi industri sawit Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
MPOB menjelaskan bahawa penentuan negara asal bagi sesuatu produk eksport masih lagi tetap perlu mematuhi peraturan tempasal (Rules of Origin) yang ditetapkan seragam di seluruh dunia, termasuk kriteria khusus produk mengikut perjanjian perdagangan serta destinasi eksport.
Artikel berkaitan: PKFZ sedia bantu audit isu minyak sawit import dilabel semula sebagai produk Malaysia

Bagi tujuan itu, Sijil Tempasal Keutamaan (PCO) dikeluarkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk membolehkan pengeksport menikmati pengurangan atau pengecualian tarif di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA), tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Sementara itu, Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (NPCO) kelazimannya dikeluarkan dewan perniagaan atau persatuan perdagangan yang dilantik MITI. Bagaimanapun, pengeluaran NPCO bagi eksport ke Amerika Syarikat (AS) sudah diambil alih sepenuhnya oleh MITI sejak 6 Mei 2025.
"Memandangkan isu berkenaan turut membabitkan pengisytiharan kastam, perdagangan antarabangsa dan dokumentasi penghantaran, MPOB kini bekerjasama dengan MITI serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan setiap aspek disiasat mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya.
Di samping itu, ia menegaskan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya siasatan lanjut kemudian menemukan bukti pelanggaran undang-undang atau syarat pelesenan di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) serta peraturan yang berkaitan.
Siasatan dilaksanakan secara teliti, profesional dan berasaskan bukti tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak, selain memastikan ketelusan urus niaga serta kebolehkesanan rantaian bekalan terpelihara bagi melindungi reputasi industri sawit Malaysia di pasaran global. - DagangNews.com





![[VIDEO] Hasrat terakhir derma organ, pemergian pesara MPOB diiringi penuh sebak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-16-at-12.29.12-PM-1024x766.jpeg)