
KUALA LUMPUR: Apabila memperingati semangat kemerdekaan ke-66, terpapar jelas bagaimana Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) memainkan peranannya membantu menerajui pertumbuhan ekonomi negara dalam era pascamerdeka melalui industri minyak sawit.
Sebagai entiti utama dalam mempromosikan dan mengembangkan minyak sawit Malaysia, MPOC telah menjalankan tugas dengan jayanya sebagai peneraju pembangunan yang mampan, dan kelestarian alam sekitar untuk industri itu.
Menerangi Jejak Pascamerdeka
Sejak penubuhannya pada tahun 1990, MPOC telah menjadi tulang belakang dalam menggalakkan pertumbuhan industri minyak sawit Malaysia.
“Semuanya bermula dengan mengetengahkan kembali usaha serta kejayaan yang dikecapi oleh Malaysia bagi membasmi kemiskinan penduduk luar bandar melalui galakan penanaman sawit secara besar- besaran dalam skim Felda ketika awal era pascakemerdekaan.
“Dengan penanaman sawit secara besar-besaran, Malaysia telah berjaya mengatasi masalah kemiskinan penduduk luar bandar,” kata MPOC kepada Bernama.
Inisiatif MPOC yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar dan aspek sosial juga adalah contoh terbaik bagi menghayati semangat kemerdekaan.
“Usaha untuk mempromosikan kesedaran mengenai sejarah dan manfaat industri minyak sawit kepada generasi masa kini telah membantu mewujudkan penghayatan terhadap pencapaian Malaysia dalam menghapuskan kemiskinan.
“Melalui program pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat, MPOC berusaha menyemai pemahaman tentang evolusi industri minyak sawit dan peranannya dalam mendorong ekonomi negara,” katanya.
Menuju ke Pasaran Global
Selain itu, fungsi utama MPOC juga adalah untuk menggalakkan pasaran minyak sawit yang mampan dan meningkatkan imej minyak sawit Malaysia di mata dunia.
“Hasilnya, minyak sawit negara kini diterima dengan lebih baik di pasaran global.
“Penyertaan aktif MPOC dalam promosi dan pemasaran minyak sawit di pasaran global telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai tulang belakang dan pemain utama industri ini.
“MPOC dalam hal ini juga telah mengambil inisiatif dengan membuka pejabat serantau di pelbagai bahagian dunia, terutamanya di pasaran besar seperti China, India, Eropah, Timur Tengah, dan Afrika. Ini membantu mengesan potensi pasaran baharu dan isu-isu khusus yang berkaitan dengan setiap rantau terlibat,” tambahnya.
Adaptasi Terhadap Perubahan
MPOC memainkan peranan aktifnya dalam menyelaraskan strategi dengan perubahan perundangan dan tuntutan pasaran global.
“Melalui kerjasama dengan pihak kerajaan, pemegang taruh industri dan entiti antarabangsa, MPOC berusaha mengatasi cabaran yang timbul berdasarkan kepada perubahan pasaran dan perundangan.
“Pendekatan proaktif seperti pertemuan awal dan perundingan dengan negara-negara berkaitan telah memastikan isu-isu berkaitan minyak sawit dapat diselesaikan dengan berhemah dan bijak,” katanya.
Meninggalkan Warisan Kemerdekaan dan Kelestarian
MPOC bermatlamat untuk dikenang sebagai entiti yang telah mewarnai perjalanan pascamerdeka Malaysia dan memberikan sumbangan penting kepada perkembangan industri minyak sawit negara.
“Ini termasuklah peranan penting minyak sawit dalam memacu ekonomi, usaha gigih menangani isu-isu pasaran global, serta komitmen kepada kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
“Semangat dan dedikasi ini diharap akan terus menjadi inspirasi dalam membangun masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” tambah MPOC.-Bernama

