MPP PKR adakan jelajah pra kongres ke seluruh negara, beri maklumat tepat

LocalPolitics
5 May 2025 • 11:16 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Zaliha

SHAH ALAM - Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan mengadakan satu Jelajah Pra Kongres ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk memastikan para perwakilan menerima maklumat tepat serta komprehensif.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, ia sebagai persiapan menghadapi Kongres Tahunan untuk 2024 dan 2025 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 Mei 2025 di Persada International Convention Centre, Johor Bharu.

Menurutnya, Jelajah Pra Kongres akan digerakkan oleh ibu pejabat parti.

"Ibu Pejabat juga akan menyediakan platform khas sewaktu Jelajah Pra Kongres itu untuk semua calon MPP bertemu dengan para perwakilan.

"Dalam masa sama, mereka boleh memperkenalkan diri masing-masing sebagai calon kelak," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau memberitahu, kongres tahunan kali ini akan menerima kehadiran lebih kurang 10,000 perwakilan yang mengundi secara fizikal untuk memilih MPP.

Katanya, manakala lebih dari 20,000 perwakilan pula akan mengundi untuk pemilihan Pimpinan Pusat secara atas talian.

"Sistem perwakilan yang berpaksikan kepada konsep representasi berkadar mengikut sokongan (Proportionate Representation) juga di jangka menarik perhatian.

"Ini kerana calon ketua cabang yang kalah di peringkat cabang juga akan layak menghantar perwakilan apabila mereka boleh menamakan senarai perwakilan untuk ke kongres di mana jumlahnya akan mengikut kadar peratus undi pada pemilihan peringkat cabang tempoh hari.

"Prinsip yang menang tidak menang yang kalah tidak kalah, semua akan menyemarakkan lagi proses demokrasi di Pemilihan 2025 sewaktu kongres kali ini," ujarnya.

Tambah Dr Zaliha, keputusan muktamad untuk Pemilihan 2025 di peringkat cabang akan dipamerkan bermula pada 5 Mei 2025 di https://keputusan.keadilanrakyat.org/.