MPP USM Umum Tak Akan Terlibat Himpunan Turun Anwar 

LocalPolitics
23 Jul 2025 • 12:18 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

MPP USM Umum Tak Akan Terlibat Himpunan Turun Anwar

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) memaklumkan bahawa mereka tidak akan terlibat secara rasmi dalam sebarang perhimpunan berunsur partisan termasuk Himpunan Turun Anwar.

Dalam satu kenyataan, MPP USM berkata pendekatan itu diambil bagi memastikan mereka kekal sebagai entiti yang bebas, neutral dan terbuka kepada seluruh mahasiswa tanpa memihak mana-mana ideologi politik.

“Dalam masa yang sama, MPP USM ingin menegaskan bahawa USM kini berada dalam tempoh peperiksaan akhir semester.

“Justeru itu, kami menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi USM agar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung.

“Sebagai mahasiswa, tanggungjawab utama kita adalah menuntut ilmu dan mencapai kecemerlangan akademik.

“Fokus terhadap peperiksaan bukan sahaja mencerminkan disiplin dan keutamaan diri sebagai penuntut ilmu, malah ia juga merupakan bentuk sumbangan intelektual kepada universiti dan masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan jemputan terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi untuk menyertai Himpunan Turun Anwar. Perhimpunan itu dijadualkan berlangsung pada 26 Julai di ibu negara.

“MPP USM menyeru semua mahasiswa dan mahasiswi agar terus kekal fokus, mengurus masa dengan bijak, dan meletakkan keutamaan terhadap peperiksaan demi masa depan yang cemerlang MPP USM percaya bahawa penglibatan mahasiswa dalam membentuk landskap negara bukan hanya melalui demonstrasi jalanan.

“Tetapi juga menerusi penyertaan aktif dalam diskusi ilmiah, dialog dasar dan reformasi institusi berasaskan fakta serta pendekatan konstruktif,” ujarnya lagi.

Pihaknya juga menyeru seluruh mahasiswa USM untuk membuat penilaian berdasarkan fakta, etika dan pemikiran rasional.

“Kami percaya bahawa sebarang bentuk penglibatan dalam isu nasional atau aktiviti luar haruslah diimbangi dengan komitmen terhadap pelajaran, lebih-lebih lagi dalam waktu kritikal seperti musim peperiksaan ini.

“Kecemerlangan akademik merupakan asas penting untuk memperkukuh suara dan kredibiliti mahasiswa dalam membawa perubahan yang bermakna,” katanya.

Sumber: MPP USM