MPSepang laksana Sistem iPMS, semua tender kini secara digital

LocalTechnology
26 Feb 2026 • 12:02 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 26 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melaksanakan pendigitalan sepenuhnya proses perolehan menerusi Sistem Pengurusan Perolehan Pintar (iPMS) bagi memastikan ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti dalam setiap urus niaga.

Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata semua urusan perolehan termasuk penyerahan sebut harga dan tender kini wajib dilaksanakan secara dalam talian melalui sistem berkenaan yang mula beroperasi pada 1 Februari lalu.

Dilancarkan pada 28 Januari, iPMS (ipms.mpsepang.gov.my) berfungsi sebagai platform pengurusan data berpusat MPSepang, dengan semua urusan melibatkan kontraktor dan pembekal diproses sepenuhnya menerusi sistem tersebut.

“Semua kontraktor, pembekal dan perunding diwajibkan menggunakan sistem ini bagi setiap urus niaga.

“iPMS meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam proses perolehan kami.

“Dengan mendigitalkan setiap peringkat, daripada pendaftaran hingga pelantikan, kita memperkukuh tadbir urus yang baik selain memastikan keadilan dan akauntabiliti dalam semua transaksi majlis,” katanya pada mesyuarat penuh majlis di ibu pejabat MPSepang seperti dilapor Star Metro.

Menurut beliau, penggunaan sistem digital membolehkan majlis menjejak dan memantau setiap peringkat proses perolehan sekali gus mengurangkan risiko kecuaian serta dakwaan tidak berasas.

Sejak pelaksanaannya, sebanyak 14 kontrak telah diiklankan meliputi kerja-kerja turapan semula jalan, pembaikan longkang, penyelenggaraan peralatan taman permainan dan pembekalan perabot pejabat.

Tempoh penghantaran tender berkenaan berakhir pada 3 Mac.

Ani berkata, sistem itu juga memudahkan kontraktor melengkapkan dokumen sebut harga dan tender dengan lebih pantas tanpa perlu hadir secara fizikal ke pejabat majlis.

“Maklumat juga lebih mudah diaudit, sekali gus meningkatkan ketelusan sistem pengurusan kita.

“Keputusan pelantikan kontraktor dan pembekal boleh diakses secara dalam talian dalam tempoh 24 jam selepas mesyuarat perolehan selesai.

“Sebelum ini, pengumuman dibuat di laman sesawang MPSepang dan papan kenyataan fizikal tiga hari selepas keputusan dibuat,” katanya.

View Original Article