MPV Capitals, IDC Capital, Labuan FSA dan Eramas Trustee jalin kerjasama tingkatkan keselamatan pelabur Program I-Asset Trust
azan
26/08/2024 - 15:28
KUALA LUMPUR 26 Ogos - MPV Capitals Ltd, IDC Capital Sdn Bhd, Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) dan Eramas Trustee Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi jalinan kerjasama dalam meningkatkan keselamatan serta pulangan kepada pelabur Program I-Asset Trust.
Jalinan kerjasama itu juga menandakan pengumuman rasmi Eramas Trustee sebagai rakan kongsi pemegang amanah baharu bagi Program I-Asset Trust, produk pelaburan bersandarkan aset inovatif, yang dilancarkan bulan lepas.
Eramas Trustee akan bertindak sebagai pemegang amanah dan penjaga bebas untuk Program I-Asset Trust dan memastikan kepentingan pelabur dilindungi pada setiap masa.
Pengasas dan Pengarah MPV Capitals, David Hew Chee Seng berkata, Eramas Trustee merupakan pilihan terbaik untuk kerjasama strategik bagi melindungi kepentingan pelabur kerana komitmen kukuh syarikat terhadap ketelusan, pematuhan dan kecemerlangan dalam pengurusan amanah.
Beliau berkata, pendekatan dwi-penjagaan bagi Program I-Asset Trust adalah memastikan tahap keselamatan dan pengawasan yang lebih tinggi untuk pelabur.
Unity Trust Berhad, pemegang amanah bebas juga menyediakan tahap kredibiliti dan kepercayaan tertinggi dalam menguruskan Program I-Asset Trust.
“Sebagai penjaga dana, Eramas Trustee akan bekerjasama untuk memastikan aset yang menyokong amanah itu diuruskan mengikut surat ikatan amanah dan perjanjian pelabur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Eramas Trustee, Datuk Tan Chee Heong berkata, syarikat itu akan mengawasi pelaksanaan surat ikatan amanah, mengurus pengagihan dana, dan memastikan pematuhan semua keperluan kawal selia.
“Dengan bertindak sebagai pihak ketiga yang neutral, Eramas Trustee menyediakan lapisan tambahan keselamatan dan akauntabiliti, yang penting untuk mengekalkan keyakinan pelabur dalam Program I-Asset Trust.
"Penglibatan Eramas Trustee adalah sejajar dengan matlamat Program I-Asset Trust kerana syarikat itu mempunyai pasukan profesional berpengalaman yang berdedikasi untuk menjaga kepentingan pelanggan dan memastikan semua aktiviti amanah dijalankan dengan integriti," katanya. - DagangNews.com

