MR DIY diramal catat lonjakan hasil pada FY25, disokong sentimen positif pengguna - CGS International

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2025 • 10:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MR DIY diramal catat lonjakan hasil pada FY25, disokong sentimen positif pengguna - CGS International

image is not available

21/04/2025 - 10:32

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 21 April - MR DIY Group (M) Bhd diramal mencatat pertumbuhan hasil yang lebih kukuh bagi tahun kewangan 2025 (FY25), dipacu oleh sentimen pengguna yang semakin positif dan corak perbelanjaan yang lebih sihat.

Peningkatan itu dipacu kenaikan gaji penjawat awam, pelaksanaan kenaikan gaji minimum, serta agihan tunai yang lebih tinggi kepada rakyat.

CGS International berkata, faktor-faktor makroekonomi yang menggalakkan itu berkemungkinan menyumbang kepada pertumbuhan jualan kedai sama yang lebih kukuh serta peningkatan hasil keseluruhan bagi peruncit barangan pembaikan rumah itu.

"Trend makroekonomi semasa dijangka memberi kesan positif terhadap pertumbuhan hasil syarikat, namun risiko kelembapan ekonomi yang dicetuskan oleh tarif masih menjadi ancaman kepada tahap penggunaan domestik," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu turut melaporkan, MR DIY telah menyelesaikan sebahagian besar isu berkaitan sistem gudang automatik (ASRS) baharu di Balakong, Selangor, yang sebelum ini menyebabkan kadar penolakan inventori dan kehabisan stok melonjak pada suku keempat 2024.

"Kini, kadar tersebut telah kembali ke tahap normal, namun ASRS masih belum dioptimumkan sepenuhnya dan hanya beroperasi pada 55% kapasiti dengan separuh daripada output yang disasarkan," katanya dalam satu nota kajian.

MR DIY berkata, sistem tersebut akan beroperasi secara penuh menjelang Jun ini, sebelum operasi gudang manual dihentikan secara berperingkat.

Langkah itu dijangka mengurangkan bilangan tenaga kerja dan kos operasi yang bakal memberi kesan positif terhadap pendapatan FY26.

Firma penyelidikan itu optimis terhadap prestasi syarikat bersekutu MR DIY, KKV Malaysia yang memiliki lapan cawangan KKV dan dua kedai kecantikan The Colourist setakat akhir FY24.

The Colourist merupakan rangkaian kedai di bawah Kumpulan KKV yang menjual pelbagai produk kecantikan dari China, Jepun, dan Korea seperti gincu, minyak wangi, celak, dan produk penjagaan kulit.

Sehubungan itu, CGS International mengekalkan saranan "tambah" terhadap saham MR DIY dengan harga sasaran (TP) RM2.09 sesaham.- DagangNews.com

standard