MR Group, GIMmedia tubuhkan Akademi TikTok pertama di Malaysia untuk PKS

14/10/2025 - 16:51
Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif MR Group, Pinky Chew; Pengarah MR Group, Marcus Chew; Pengarah GIMmedia, Mike Seah dan Jurulatih GIM media, Chombie Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 14 Okt – MR International Group Sdn Bhd (MRG) dan Gimmall (M) Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai GIMmedia bakal membangunkan Akademi TikTok Live dan Konsultasi (MG Academy) pertama di Malaysia yang khusus untuk peruncit tempatan.
Kerjasama ini menggabungkan kepakaran MRG sebagai akademi peruncitan nombor satu di Malaysia, dan GIMmedia, peneraju agensi TikTok Shop (multi channel network-MCN) negara ini bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan kemahiran terkini dalam perdagangan secara langsung (real-time commerce).
Akademi ini juga bertujuan membantu PKS menghubungkan pelanggan daripada platform digital ke kedai fizikal secara menyeluruh.
Dalam usaha sama ini, GIMmedia akan menyediakan tenaga pengajar profesional, perunding dan modul latihan, manakala MRG akan bertanggungjawab terhadap operasi akademi, pengurusan konsultasi serta pelaksanaan acara.
Semua program latihan TikTok yang dikendalikan GIMmedia akan diselaraskan sepenuhnya oleh MG Academy untuk memastikan penyampaian profesional dan teratur di seluruh Malaysia.

Pengarah MR International Group, Marcus Chew berkata, perdagangan masa nyata bukan lagi satu pilihan, malah ia kini menjadi tempat di mana perhatian pelanggan bertukar menjadi jualan.
“Dengan menggabungkan kekuatan jenama kami bersama kepakaran penstriman langsung GIMmedia, kami menyediakan satu laluan jelas dan praktikal untuk para peniaga meraih hasil yang boleh diukur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah GIMmedia, Mike Seah pula berkata, misi pihaknya adalah untuk menjadikan pencipta kandungan dan usahawan berjaya melalui penstriman langsung.
“Usaha sama ini membolehkan kami meluaskan impak tersebut kepada ribuan PKS dengan membekalkan mereka alat, pemikiran dan strategi yang tepat untuk berjaya dalam ekonomi digital,” katanya.

GIMmedia telah diiktiraf sebagai TikTok Shop MCN No.1 di Malaysia selama 18 bulan berturut-turut sejak 2022, manakala MRG pula telah menganjurkan bengkel untuk ribuan pemilik perniagaan di seluruh negara melalui program yang menumpukan kepada peningkatan jualan, keuntungan dan kecekapan pengurusan.
MR Academy turut diiktiraf oleh Rekod ASEAN atas pencapaian jumlah pendaftaran berbayar tertinggi dalam kursus transformasi peruncitan berbahasa Mandarin, dengan 4,002 penyertaan merangkumi 60 program dari tahun 2022 hingga 2025.
Kerjasama ini dilihat sebagai maklum balas terhadap permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan kalangan PKS tempatan yang memerlukan sesi latihan praktikal dan berstruktur dalam bidang perdagangan langsung.
MG Academy menyediakan modul latihan langkah demi langkah yang bersifat kemahiran dan mudah diikuti, membolehkan PKS membina model perniagaan hibrid yang menggabungkan operasi fizikal dan dalam talian.
Para peruncit yang berminat boleh mendaftar bersama pasukan MG Academy untuk mendapatkan kalendar program dan maklumat pendaftaran lanjut. - DagangNews.com
standard
