MRCA gesa kerajaan tangguh cukai 6% ke atas bil utiliti penyewa pusat beli-belah

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 11:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRCA gesa kerajaan tangguh cukai 6% ke atas bil utiliti penyewa pusat beli-belah Image from: MRCA gesa kerajaan tangguh cukai 6% ke atas bil utiliti penyewa pusat beli-belah liza03/08/2026 - 11:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Kerajaan digesa supaya menangguhkan dan menilai semula pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak 6% ke atas caj utiliti yang dibayar oleh penyewa premis komersial kepada pihak pengurusan pusat beli-belah.

 

Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menyifatkan cukai itu sebagai satu lagi beban yang akan menghakis margin keuntungan peruncit ketika kos operasi terus meningkat.

 

Menurut persatuan itu, cukai berkenaan melibatkan caj elektrik, air, bekalan air sejuk (chilled water) dan pelbagai caj utiliti lain yang dituntut semula oleh pengurusan bangunan daripada penyewa.

 

“Pelaksanaannya adalah sangat tidak wajar kerana caj utiliti tersebut sebenarnya hanyalah pembayaran balik kos kepada pengurusan pusat beli-belah, bukannya perkhidmatan baharu yang diberikan kepada penyewa.

 

“Cukai 6% ke atas caj utiliti itu dilihat sebagai satu bentuk cukai berganda kerana utiliti berkenaan sudah pun dikenakan cukai oleh pembekal sebelum kosnya dituntut semula daripada penyewa.

 

“Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemain industri kerana ia berpotensi meningkatkan kos operasi perniagaan, khususnya bagi peruncit yang beroperasi di pusat beli-belah,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Garis Panduan Baharu Cetus Kebimbangan

MRCA berkata, kebanyakan ahlinya mula dimaklumkan mengenai pelaksanaan cukai tersebut menerusi pekeliling yang diedarkan oleh pihak pengurusan pusat beli-belah pada awal Julai lalu.

 

Pekeliling itu memaklumkan cukai perkhidmatan sebanyak 6% akan dikenakan ke atas bil utiliti penyewa selaras dengan Garis Panduan Perkhidmatan Sewaan atau Pajakan (Guideline on Rental or Leasing Services) Versi 2 yang diterbitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 14 Mei.

 

Malah, pelaksanaan itu turut dikenakan secara retrospektif (berkuat kuasa ke belakang) bermula 1 Julai 2026 yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyewa kerana perlu menanggung kos tambahan.

 

Menurut MRCA, pengurusan pusat beli-belah hanya bertindak sebagai pihak yang mengutip semula bayaran utiliti bagi pihak pembekal dan tidak memperoleh keuntungan daripada caj tersebut.

 

"Oleh itu, mengenakan lagi cukai perkhidmatan ke atas caj yang sama hanya akan meningkatkan perbelanjaan operasi syarikat tanpa memberi sebarang manfaat ekonomi kepada perniagaan," katanya.

 

Risiko Harga Barang Meningkat

MRCA berkata, tekanan kos yang semakin tinggi akan menyukarkan lagi keadaan bagi peruncit yang ketika ini berdepan kenaikan pelbagai kos perniagaan termasuk sewaan premis, tenaga kerja dan perbelanjaan operasi lain.

 

Menurutnya, sekiranya syarikat tidak lagi mampu menyerap peningkatan kos itu, sebahagian daripadanya berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna menerusi kenaikan harga produk dan perkhidmatan.

 

Sehubungan itu, persatuan berkenaan menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan cukai tersebut serta mengadakan sesi libat urus segera bersama Kementerian Kewangan dan JKDM bagi mencari penyelesaian yang lebih sesuai untuk semua pihak.

 

MRCA turut memaklumkan bahawa memorandum bersama telah dikemukakan kepada JKDM pada 25 Jun lalu oleh lapan persatuan industri yang mewakili sektor peruncitan, pengurusan bangunan, amanah pelaburan hartanah (REIT), pusat beli-belah serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi memohon supaya isu berkenaan dibincangkan semula sebelum pelaksanaannya diteruskan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved