MRCB, Salim Fateh Din saman RM100 juta ke atas wartawan P Gunasegaram berhubung artikel LRT3

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRCB, Salim Fateh Din saman RM100 juta ke atas wartawan P Gunasegaram berhubung artikel LRT3 Image from: MRCB, Salim Fateh Din saman RM100 juta ke atas wartawan P Gunasegaram berhubung artikel LRT3 amree04/08/2026 - 14:20 MOHAMAD SALIM FATEH DIN Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Naib Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din memfailkan saman ke atas wartawan, P Gunasegaram.

 

Kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM100 juta berhubung penerbitan artikel oleh defendan mengenai projek transit aliran ringan, LRT3 Laluan Shah Alam yang didakwa menjejaskan reputasi mereka.

 

Menerusi penyataan tuntutan bertarikh 29 Julai difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua plaintif mendakwa artikel tersebut mengandungi kenyataan berunsur fitnah yang memberikan gambaran negatif.

 

Menurut plaintif, artikel itu didakwa menggambarkan MRCB memperoleh projek melalui unsur kronisme, naungan politik dan hubungan tertentu, bukannya menerusi perolehan telus serta berasaskan merit.

 

Pada masa sama, MRCB dan Mohamad Salim mendakwa artikel defendan membayangkan syarikat bertanggungjawab terhadap isu peningkatan kos projek serta kelewatan pelaksanaan daripada jadual.

 

Selain daripada itu, artikel tersebut turut didakwa memberi gambaran bahawa Mohamad Salim kononnya menggunakan hubungan politik dalam usaha memperoleh kelebihan komersial untuk syarikat berkenaan.

 

P Gunasegaram
P GUNASEGARAM

 

Sehubungan itu, plaintif menafikan kesemua dakwaan ditulis Gunasegaram dalam artikel tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak benar, tidak berasas serta diterbitkan tanpa sebarang justifikasi sah.

 

Menurut dokumen mahkamah, MRCB dan Mohamad Salim mengeluarkan surat tuntutan pada 10 Julai 2026, yang antara lain menuntut artikel itu dipadamkan, selain permohonan maaf dan penarikan balik penuh.

 

Bagaimanapun, mereka berdua mendakwa yang Gunasegaram tidak memenuhi tuntutan tersebut, sebaliknya mempertahankan kandungan artikel ditulis berkenaan atas alasan ia merupakan komen yang adil.

 

Plaintif turut mendakwa wartawan berkenaan sebagai gagal berusaha mendapatkan apa-apa maklum balas atau ulasan daripada MRCB dan Mohamad Salim sebelum menerbitkan dakwaan yang dipertikaikan itu.

 

Menurut mereka, penerbitan artikel itu menjejaskan reputasi dan kredibiliti plaintif, serta didakwa memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelabur, rakan perniagaan dan prestasi harga saham MRCB.

 

Di samping tuntutan ganti rugi yang berjumlah RM100 juta bagi kemudaratan reputasi, MRCB dan Mohamad Salim turut memohon Gunasegaram membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan/atau ganti rugi teladan.

 

Mereka juga menuntut perintah injunksi bagi mengarahkan artikel berkenaan dipadam dan menghalang penerbitan kandungan serupa sehingga perkara itu diputuskan oleh mahkamah. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved