MRT Corp lantik MMSB Consult sebagai jurutera perunding bebas projek LRT Pulau Pinang

LocalBusiness & Finance
17 Jul 2025 • 4:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRT Corp lantik MMSB Consult sebagai jurutera perunding bebas projek LRT Pulau Pinang

image is not available

17/07/2025 - 16:10

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Malaysia Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) telah melantik MMSB Consult Sdn Bhd sebagai jurutera perunding bebas bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan hari ini, MRT Corp memaklumkan pelantikan tersebut dibuat melalui proses tender terbuka dan penilaian komprehensif.

“Skop kerja MMSB Consult meliputi semakan menyeluruh terhadap reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan serta fasa operasi dan penyelenggaraan bagi memastikan pematuhan terhadap semua keperluan projek, standard dan peraturan yang berkaitan.

“Pelantikan ini mencerminkan kemajuan berterusan projek Mutiara Line yang kini bergerak dari fasa persediaan ke arah awal pembinaan,” kata MRT Corp.

Dalam perkembangan berasingan, pakej kontrak utama sivil bagi Fasa 1 yang dianugerahkan kepada SRS Consortium Sdn Bhd telah berkuat kuasa pada 23 Jun selepas syarat kontrak utama dipenuhi.

MRT Corp berkata, SRS juga telah menepati beberapa keperluan tambahan pelaksanaan projek, membolehkan Notis Mula Kerja (NTP) dikeluarkan pada 15 Julai lalu.

Dengan pengeluaran NTP, kerja-kerja di bawah Pakej 1 dijangka dipercepatkan.

“Sebelum NTP dikeluarkan, beberapa kerja awal telah dimulakan termasuk siasatan tanah, ujian cerucuk, tinjauan keadaan pra-pembinaan serta pemantauan persekitaran dan pemasangan peralatan di lokasi terpilih sepanjang jajaran.

“Projek ini kekal mengikut jadual dengan kerja awal dijangka bermula pada Ogos 2025, melibatkan aktiviti utama seperti pemindahan utiliti, kerja cerucuk dan penyediaan tapak.

“Kerja pembinaan berskala besar pula dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026,” menurut MRT Corp.- DagangNews.com

standard