
SHAH ALAM, 25 OGOS: Penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 seiring keperluan semasa dalam membimbing masyarakat mengurus kewangan dengan cekap.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pameran itu bukan hanya menawarkan produk pelaburan tetapi mencakupi pelbagai cabang bidang kewangan.

“Kecelikan mengenai pengurusan kewangan saya rasa sangat perlu khususnya berdepan dengan cabaran kehidupan moden hari ini.
“Cabaran kepenggunaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat jika tidak diseimbangkan dengan pengurusan kewangan cekap kita mungkin akan melahirkan generasi atau kelompok yang terperangkap dengan hutang yang serius.
“Ini adalah satu perkara besar kerana kita tidak mahu anak-anak muda terutamanya terperangkap dalam perangkap kewangan yang disebabkan oleh budaya kepenggunaan yang melampau,” katanya ditemui selepas Majlis Penutup MSAM 2024 di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Sementara itu Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata MSAM 2024 berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara sepanjang empat hari acara itu berlangsung.
“Ini merupakan perkembangan positif dan membantu usaha PNB melahirkan lebih ramai masyarakat khususnya generasi muda agar celik pelaburan.
“Bersesuaian tema MSAM kali ini, saya berharap pengunjung dapat membawa pulang ilmu dan pengalaman yang berguna,” katanya.

MSAM 2024 berlangsung empat hari sejak Khamis menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan bagi menarik penyertaan pengunjung dari semua lapisan masyarakat.
Selain aktiviti lazim berkaitan celik kewangan dan perkongsian ilmu, turut dianjurkan Festival Muzik Mini, Karnival Makanan Mini (Maybank Islamic MAE-Dan Selera) dan Festival Auto.
Kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat-syarikat Kumpulan PNB, ejen ASNB, badan kawal selia dan agensi Kerajaan Negeri mempamerkan aktiviti serta pameran pendidikan pelaburan yang menarik pada MSAM 2024.
The post MSAM seiring keperluan semasa, bimbing masyarakat cekap urus kewangan appeared first on Selangorkini.
