![‘MSCI Mahu Takutkan Kita, Indonesia Tak Takut & Gentar Pada Sesiapa’ – Prabowo [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/10/Prabowo-tak-gentar-dengan-MSCI.jpg)
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan penyedia indeks global, Morgan Stanley Capital International (MSCI) sedang mempertimbang untuk menurunkan status pasaran modal Indonesia dari pasaran sedang pesat membangun (Emerging Market) kepada pasaran kendiri (Standalone Market).
Dakwa MSCI, Indonesia ‘tidak lagi sesuai’ untuk diklasifikasikan sebagai kumpulan negara pesat membangun dan mengambil kira kebimbangan pelabur terhadap struktur pemilikan saham dan tingkah laku perdagangan.
Apatah lagi, pada 16 Oktober lalu, Indeks Harga Saham Gabungan (IHSG) menjunam lebih 11% sekaligus mencatatkan kejatuhan harian yang terbesar sejak tahun 1998 susulan kebimbangan mengenai kemungkinan pengeluaran besar-besaran oleh pelaburan asing.
Prabowo Tak Gentar Dengan Tekanan MSCI, Dakwa MSCI Hanya Mahu Takutkan Indonesia
Terbaharu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menegaskan negaranya tidak takut dan gentar dengan tekanan daripada MSCI.
Malah, dia turut mendakwa agensi itu cuba menakutkan-nakutkan negaranya dengan mengutarakan cadangan tersebut.
“MSCI mahu menakut-nakutkan kita. Saya hanya mahu katakan kepada MSCI bahawa bangsa Indonesia tidak takut kepada sesiapa dan tidak akan gentar,” katanya.
Prabowo Tegas Kerajaan Tak Akan Putus Asa Kukuh Ekonomi Negara
Pada masa sama, Prabowo turut menegaskan kerajaan pimpinannya tidak akan berputus asa untuk mengukuhkan ekonomi negara mereka meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan gangguan.
“Kita mempunyai kekuatan, keberanian dan sanggup berkorban. Kita tidak mengenal erti menyerah,” jelasnya.
Malah, Prabowo turut menyatakan kesediaan mereka untuk melakukan langkah penjimatan sebagai persediaan menghadapi tekanan ekonomi.
“Kalau perlu, kita akan melaksanakan penjimatan besar-besaran. Jika perlu lebih berjimat, kita akan lakukannya,” katanya.
MSCI Berpendapat Pembaharuan Pihak Berkuasa Indonesia Belum Tunjuk Kemajuan
Sebelum ini, selain cadangan penurunan klasifikasi pasaran modal Indonesia, MSCI turut berpendapat pembaharuan yang diumumkan oleh pihak berkuasa Indonesia masih belum menunjukkan kemajuan yang konsisten serta kesan yang ketara.
Malah, sepanjang proses rundingan cadangan terbabit, MSCI masih mengekalkan pembekuan terhadap perubahan indeks negara itu sehingga diumumkan kelak.
Difahamkan, keputusan akhir mengenai status pasaran saham Indonesia akan diumumkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2027.
Walau bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
Terdahulu, Ketua Bursa Saham Indonesia (IDX), Jeffrey Hendrik telah mengumumkan langkah bagi meningkatkan ketelusan pasaran termasuk mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai pemegang saham kecil kepada umum.
Malah, IDX turut akan mengeluarkan ‘semua saham yang mempunyai kepekatan pemilikan tinggi daripada indeks komposit harga saham’ sebagai gambaran kepada pergerakan IHSG, lapor Malaysia Gazette.
Baca Artikel Berkaitan: Ada Pihak Luar Yang Tidak Suka Indonesia Jadi Negara Kuat – Prabowo
Baca Artikel Berkaitan: Prabowo Rombak Kabinet, Ganti 5 Menteri Termasuk Kewangan & Tubuh Kementerian Baharu


