MSjN rangka inisiatif perkasa sejarah berteraskan fakta dan wacana ilmiah

LocalPolitics
15 Dec 2025 • 3:01 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Majlis Sejarawan Negara (MSjN) kini sedang merangka beberapa inisiatif strategik dan pendekatan baharu bagi memperkasakan sejarah sebagai satu disiplin ilmu yang berteraskan fakta, pemikiran kritis dan wacana ilmiah, selari dengan keperluan masyarakat dalam era digital yang semakin mencabar.

Dalam satu kenyataan media, MSjN memaklumkan bahawa usaha tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara Malaysia, sebagai langkah memperkukuh kefahaman sejarah dalam kalangan masyarakat serta mengekang penularan tafsiran sejarah yang tidak berasaskan kaedah ilmiah.

image is not available

Foto arkib: Bernama

Menurut MSjN, pendekatan baharu itu memberi penekanan kepada penggunaan sumber berautoriti, metodologi penyelidikan yang sahih serta penilaian kritikal terhadap fakta sejarah, sekali gus memastikan sejarah terus difahami sebagai bidang ilmu dan bukan sekadar naratif bebas atau pandangan peribadi.

“Inisiatif ini bertujuan memperkasakan budaya ilmu dan pemikiran kritis, di samping menggalakkan perbahasan sejarah yang bertanggungjawab dan berpaksikan fakta,” menurut kenyataan itu hari ini.

MSjN turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan dakwaan dan tafsiran sejarah di ruang awam, khususnya di media sosial yang disebarkan tanpa rujukan tepat dan berpotensi mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kefahaman awam terhadap sejarah negara.

image is not available

Foto arkib: Utusan

Sehubungan itu, masyarakat diseru agar lebih berhemah dan beretika dalam mengeluarkan atau menyebarkan kenyataan berkaitan sejarah, dengan memastikan setiap pandangan disandarkan kepada sumber yang sahih serta kerangka ilmiah yang diiktiraf.

“MSjN kekal komited untuk memelihara integriti sejarah sebagai teras pembinaan jati diri dan negara bangsa, di samping memperkukuh budaya ilmu, pemikiran kritis serta penghormatan terhadap fakta sejarah demi kepentingan pendidikan, keharmonian sosial, perpaduan nasional dan kelangsungan negara,” ujarnya.