liza18/06/2026 - 15:37 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Jun – MSM Malaysia Holdings Bhd membubarkan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah (BEC) berkuat kuasa serta-merta, menjadikan syarikat itu kini kembali kepada struktur pengurusan biasa di peringkat kepimpinan tertinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MSM berkata jawatankuasa itu diwujudkan sebelum ini sebagai langkah sementara bagi memastikan kelangsungan operasi dan tadbir urus syarikat berjalan lancar selepas berlaku perubahan dalam jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan pada penghujung tahun lalu.
Penubuhan jawatankuasa itu dibuat pada 1 Januari 2026 susulan peletakan jawatan CEO terdahulu serta tamatnya tempoh kontrak sementara bagi jawatan pengurusan utama syarikat.
Sepanjang tempoh peralihan tersebut, BEC memainkan peranan penting dengan mengambil alih fungsi dan tanggungjawab CEO kumpulan sementara syarikat mencari pengganti tetap bagi menerajui operasi keseluruhan kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dr Mazatul 'Aini kembali ke MSM Malaysia sebagai CEO Kumpulan baharu berkuat kuasa 4 Feb 2026
Situasi itu berlaku selepas Hasni Ahmad dilantik sebagai CEO sementara susulan peletakan jawatan CEO terdahulu pada Julai 2025 yang gus mewujudkan keperluan kepada struktur interim bagi memastikan operasi syarikat berjalan lancar.
Bagaimanapun, keadaan itu berubah selepas pelantikan CEO baharu iaitu Dr Mazatul 'Aini Shahar Abdul Malek Shahar yang mula berkuat kuasa pada 4 Februari 2026.
Dengan pelantikan tersebut, MSM memaklumkan BEC sedia ada masih dikekalkan sementara bagi membantu proses peralihan dan memberi sokongan kepada CEO baharu dalam tempoh awal perkhidmatan beliau.
Namun, selepas beberapa bulan pelaksanaan, lembaga pengarah kini membuat keputusan bahawa peralihan kepimpinan telah selesai sepenuhnya dan struktur interim tidak lagi diperlukan untuk menguruskan operasi harian syarikat.
Sehubungan itu, pembubaran BEC ini menandakan fasa baharu buat MSM dengan semua tanggungjawab eksekutif kini kembali dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bawah CEO kumpulan, seterusnya memperkukuh struktur tadbir urus syarikat.- DagangNews.com




