MSM perkenal van elektrik pertama bagi penghantaran barang di Lembah Klang
zulfadli
22/09/2023 - 10:56
KUALA LUMPUR 22 Sept - MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), pengeluar jenama gula bertapis Gula Prai, melalui cabang logistik dan anak syarikatnya, MSM Logistics Sdn Bhd memperkenalkan van kenderaan elektrik (EV) pertamanya untuk penghantaran barang di Lembah Klang.
Ia merupakan sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusannya untuk penyahkarbonan dan meningkatkan operasi logistik yang mampan.
Van EV The Weststar Maxus eDeliver 3 itu mempunyai WLTP (Prosedur Pengujian Kenderaan Ringan Terselaras Sedunia) sejauh 344 kilometer (km) setiap cas penuh.
Ia juga dilengkapi dengan penyambung CCS2 yang membolehkan pengecasan DC lebih pantas sehingga 45 minit setiap cas penuh. Dengan seluruh kenderaan berwarna hijau, jenama Gula Prai jelas kelihatan kepada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, selari dengan Dasar Automotif Nasional dan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh, pihaknya memahami manfaat EV dalam mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2).
Katanya, pihaknya juga secara aktif mengambil langkah praktikal menggabungkannya ke dalam operasi logistik dalam mewujudkan masa depan mampan untuk generasi akan datang.
"Selain daripada van EV, tahun ini MSM Logistics telah membeli lapan trak (prime movers) untuk menggantikan trak yang semakin berusia. Untuk trak baharu ini, purata penggunaan bahan api adalah sekitar 2.3 km/liter hingga 2.6 km/liter.

"Berbanding dengan trak lama tersebut, penggunaan bahan api purata antara 1.6 km/liter hingga 1.9 km/liter. Dengan beralih kepada kenderaan diesel Euro5, kami menyasarkan penggunaan bahan api yang lebih baik dalam mengurangkan jejak karbon bagi setiap km perjalanan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Turut hadir pada pelancaran itu, Ketua Pegawai Operasi The Weststar, Julius Jonanthan Netto; Pengerusi MSM, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; Pengarah Urusan The Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan Ketua Pegawai Kewangan MSM, Dr Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar.
MSM Logistics akan menyokong komitmen ESG kumpulan MSM dengan pelan pemerolehan aset selama lima tahun bagi membeli dan menggantikan semua trak yang sudah berusia untuk menambah baik masa operasi trak, meningkatkan produktiviti dan tan yang dihantar sambil mengurangkan pelepasan CO2.

Bagi mengukuhkan lagi operasinya, MSM Logistics baru-baru ini menerima pensijilan ISO 9001:2015 untuk sistem pengurusan kualitinya serta dalam proses mendapatkan pensijilan halal untuk syarikat tersebut.
MSM Logistics berkembang kepada perkhidmatan pengangkutan, pergudangan, penghantaran barang dan perkhidmatan tambah nilai yang lain.
MSM Logistics pada masa ini menguruskan 42 aset sendiri dengan kekuatan 42 pemandu, disokong oleh logistik pihak ketiga (3PL), dan pakar dalam perkhidmatan trak antara negeri, jarak dekat dan jauh melalui pergerakan disewa dan berjadual yang menghantar gula dengan cekap kepada pelanggan MSM di seluruh Malaysia. - DagangNews.com

