MSM pupuk kesedaran mengenai kepentingan ESG kepada 130 mahasiswa USM

13 Jul 2023 • 9:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MSM pupuk kesedaran mengenai kepentingan ESG kepada 130 mahasiswa USM

zulfadli

13/07/2023 - 09:20

KUALA LUMPUR 13 Julai - MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), pengeluar jenama gula bertapis terkemuka "Gula Prai" memupuk kesedaran lebih tinggi tentang kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan pelajar universiti melalui Sesi Bual Bicara ESG: Sisa Buangan Kepada Inisiatif Hijau (ESG Talk: Waste to Green Initiatives).

Sesi bual bicara tersebut yang diadakan baru-baru ini di Universiti Sains Malaysia (USM) dihadiri seramai 130 mahasiswa dan mahasiswa lepasan ijazah dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI), USM.

Antara topik yang dibentangkan ialah Sisa Buangan kepada Inisiatif Hijau oleh Ahmad Fer-Rouse Khairuddin (MSM), Sisa Buangan kepada Bahan Mentah Mampan oleh Dr Azniwati Abd Aziz (USM), Peralatan Perubatan Inovatif dan Pengurusan Sisa oleh Syafiq Aufa (Boston Scientific Medical) serta Jadual dan Peraturan Efluen oleh Ramli Manap (Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, inisiatif ini adalah salah satu langkah untuk memajukan perjalanan kemampanan MSM dan mencipta nilai untuk manusia dan planet ini.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada ahli utama Rangkaian Tindakan CEO (CEO Action Network - CAN), Kumpulan MSM telah mengikrarkan komitmen untuk menyumbang ke arah perubahan positif dalam Aliran Kerja: Sisa & Air yang dipilih.

Katanya, pembaziran adalah isu untuk semua, dan dilaporkan bahawa sisa global dijangka meningkat kepada 3.4 bilion tan menjelang 2050, lebih daripada dua kali ganda pertumbuhan populasi dalam tempoh sama.

"Kita perlu bertanggungjawab dan menguruskan sisa dengan cara yang paling selamat. Bagi MSM pula, sisa mud cake kami menelan belanja berjuta-juta ringgit setiap tahun untuk dilupuskan di tapak pelupusan, walaupun sisa mud cake tidak toksik atau berbahaya.

image is not available

"Oleh itu, MSM telah melakukan usaha yang baik secara menyeluruh melalui aplikasi hijau seperti baja dan bahan tambahan dalam simen. Kami merancang untuk bekerjasama dengan ahli akademik tempatan bagimenjalankan kajian lanjut bagaimana mud cake boleh digunakan untuk makanan haiwan.

"Kos kami telah dikurangkan lebih daripada 70% melalui inisiatif menyeluruh dan berusaha selanjutnya ke arah kos sifar," katanya dalam kenyataan media di sini.

MSM akan terus memacu pertumbuhan yang mampan dengan rangka kerja ESG melalui pelbagai inisiatif berterusan dan baharu seperti menerima pakai Prinsip Pemerkasaan Wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 100% gula mentah yang diperoleh daripada Inisiatif Gula NDPE Wilmar, berikrar kepada Inisiatif Sasaran berasaskan Sains (SBTi) dan Matlamat Sifar Bersih.

Bagi memastikan sebarang isu berkaitan ESG dan kemampanan ditangani dengan sewajarnya, MSM mengalu-alukan mana-mana pihak berkaitan, pihak berkepentingan dalaman dan luaran untuk mengemukakan isu tersebut di esg@msmsugar.com. - DagangNews.com