MSR Green Energy peroleh RM408.2 juta daripada AmBank biaya projek BESS di Lahad Datu

LocalBusiness & Finance
2 May 2025 • 5:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MSR Green Energy peroleh RM408.2 juta daripada AmBank biaya projek BESS di Lahad Datu

image is not available

02/05/2025 - 17:43

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 2 Mei - Syarikat usaha sama milik 30 peratus Seal Incorporated Bhd, MSR Green Energy Sdn Bhd, memperoleh pembiayaan sebanyak RM408.2 juta bagi membiayai sebahagian daripada projek sistem penyimpanan tenaga berskala besar (BESS) di Lahad Datu, Sabah.

MSR Green Energy berkata, pembiayaan tersebut disediakan oleh Kumpulan AmBank.

"Projek bernilai RM644.6 juta itu dianugerahkan kepada MSR Green Energy oleh Sabah Electricity Sdn Bhd pada September tahun lalu," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Projek berkenaan dijangka menjadi antara sistem penyimpanan tenaga bateri terbesar di Asia Tenggara dan yang pertama seumpamanya di Sabah, dengan kapasiti akhir sebanyak 517 megawatt-jam (MWh).

Pengarah MSR Green Energy, Ong Kah Hui berkata, matlamat utama projek itu adalah untuk menstabilkan bekalan elektrik, menambah simpanan tenaga ketika permintaan puncak, serta menyokong pertumbuhan kemudahan tenaga boleh diperbaharui di wilayah tersebut.

"Dengan sokongan kewangan daripada AmBank, projek penyimpanan tenaga berskala besar ini menjadi langkah penting ke arah mencapai visi bersama untuk masa depan yang lebih lestari," katanya.

MSR Green Energy, yang ditubuhkan pada 2012, merupakan syarikat tenaga boleh diperbaharui dengan rekod kejayaan dalam melaksanakan 39 projek solar fotovoltaik.

Syarikat itu kini juga sedang membangunkan dua projek solar berskala besar di bawah program Corporate Green Power, melibatkan kapasiti keseluruhan 95 megawatt-puncak (MWp), yang dijangka siap menjelang akhir 2025. - DagangNews.com

standard