MSU lonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia

1 Oct 2026 • 8:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MSU lonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia

PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) berjaya melonjak ke kelompok 501 hingga 550 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings (WUR) 2027.

Pencapaian itu menyaksikan MSU mencatat peningkatan bagi tahun ketiga berturut-turut selepas berada dalam kelompok 801 hingga 1,000 dunia pada 2025 sebelum meningkat ke kelompok 601 hingga 800 pada 2026.

MSU dalam kenyataan berkata, penarafan THE WUR 2027 membabitkan penilaian terhadap 2,297 institusi pendidikan tinggi dari 118 negara berdasarkan lima indikator utama.

Lima indikator tersebut adalah pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan pandangan antarabangsa.

Menurut MSU, di Malaysia, pihaknya menduduki tempat kesembilan daripada 32 institusi pendidikan tinggi yang dinilai dalam kedudukan keseluruhan.

“Dalam kalangan institusi pendidikan tinggi swasta(IPTS) di Malaysia, MSU berada di tempat ketiga, manakala bagi indikator Pandangan Antarabangsa, MSU turut menduduki tempat ketiga di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak dan inovasi.

“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan MSU dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan, penyelidikan berimpak, inovasi serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs).

“(Ia) sekali gus menghasilkan impak bermakna yang melangkaui universiti dan menyumbang kepada masyarakat serta komuniti global,” katanya.

Beliau berkata, kedudukan tahun ini turut meletakkan MSU di tempat ke-45 dunia bagi indikator pandangan antarabangsa, sekali gus menggambarkan penglibatan universiti berkenaan di peringkat antarabangsa.

Dalam penilaian indikator di Malaysia, MSU turut menduduki tempat keenam bagi kualiti penyelidikan dan tempat kesembilan bagi pengajaran.

MSU merekodkan skor 94.3 peratus bagi indikator pandangan antarabangsa, manakala kualiti penyelidikan pula mencatat 70.2 peratus.

Pencapaian berkenaan turut memperkukuh momentum universiti dalam agenda kelestarian global apabila sebelum ini MSU berada pada kedudukan ke-88 dunia dalam THE Sustainability Impact Rankings 2026.

Menurut kenyataan itu, lonjakan kedudukan dalam THE WUR 2027 turut menjadi penanda aras terhadap keberkesanan strategi pengantarabangsaan MSU yang kini mempunyai kerjasama dengan lebih 350 universiti dan institusi di seluruh dunia.

Pada masa ini, MSU berkata, komuniti pelajar antarabangsa di universiti terdiri daripada pelajar dari 82 negara termasuk United Kingdom, Turkiye, China, Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Sri Lanka, Brunei, Maldives, Oman, Perancis, Yemen, Myanmar, Nigeria, Sudan, Botswana, India, Comoros, Iran dan Libya.

Selain pengantarabangsaan, MSU turut mengintegrasikan pendekatan industry talent embedded ecosystem (ekosistem bakat bersepadu industri) melalui kerjasama strategik dengan lebih 3,000 rakan industri di dalam dan luar negara. – KOSMO! ONLINE

The post MSU lonjak ke kelompok 501–550 universiti terbaik dunia appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved