MTOS sasar tempatkan dua pekerja OKU setiap syarikat, elak rasa terasing

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MTOS sasar tempatkan dua pekerja OKU setiap syarikat, elak rasa terasing

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) menyasarkan sekurang-kurangnya dua pekerja orang kurang upaya (OKU) ditempatkan di setiap syarikat bagi mewujudkan sistem sokongan dan mengelakkan mereka berasa terasing di tempat kerja.

Pengerusinya Danial Al-Rashid Haron berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan pekerja OKU mempunyai rakan yang boleh saling membantu ketika berdepan cabaran sepanjang menjalankan tugas.

“Kita cadang kalau boleh satu majikan ini ambil sekurang-kurangnya dua orang supaya ada ‘buddies’, sama-sama boleh berbincang dan saling membantu, jadi tidaklah mereka berasa terasing.

“Jika majikan hanya mengambil seorang pekerja OKU, mereka mungkin berasa terasing dalam syarikat dan keadaan itu boleh menjadi antara faktor yang mendorong mereka memilih untuk berhenti kerja,” katanya kepada Media Selangor.

Image from: MTOS sasar tempatkan dua pekerja OKU setiap syarikat, elak rasa terasing
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron ketika ditemu bual dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor.

Pada 12 Ogos lepas, Danial berkata sebanyak lapan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor menyatakan kesediaan membuka ruang pekerjaan kepada golongan OKU, khususnya dalam bidang profesional.

Seramai 15 calon daripada kumpulan awal kira-kira 20 bakat OKU kini menjalani latihan sebelum dipadankan dengan jawatan bersesuaian di syarikat terbabit.

Mengulas lanjut, beliau berkata antara cabaran yang sering menyebabkan pekerja OKU tidak kekal lama dalam pekerjaan adalah ketiadaan sistem sokongan daripada majikan dan rakan sekerja.

Sehubungan itu, MTOS akan memantau perkembangan pekerja OKU selepas penempatan bagi menilai kemampuan mereka menyesuaikan diri dan kekal dalam pekerjaan.

Jelas beliau, pemantauan itu penting bagi memastikan usaha membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU tidak terhenti selepas mereka diterima bekerja.

Dalam perkembangan sama, MTOS bersedia memberi panduan kepada majikan berkaitan kemudahan dan infrastruktur yang perlu disediakan mengikut kategori serta keperluan pekerja OKU.

Danial berkata keperluan kemudahan di tempat kerja bergantung kepada keadaan individu, justeru majikan perlu membuat persediaan sewajarnya sebelum penempatan pekerja.

“Sekiranya OKU ini berkerusi roda, majikan perlu menyediakan meja yang sama paras atau bersesuaian, kemudian kemudahan di tandas pun perlu dititikberatkan bagi memudahkan golongan ini.

“Pendekatan ini diharap dapat mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif selain membantu pekerja OKU membina kerjaya dalam jangka masa panjang,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved