MTUC sokong NUBE, gesa mansuh fi RM1 pengeluaran tunai di ATM

LocalPolitics
5 Dec 2024 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung gesaan NUBE supaya memansuhkan fi pengeluaran tunai RM1 di mesin ATM antara bank.

SHAH ALAM - Fi pengeluaran tunai RM1 di mesin pengeluaran automatik (ATM) antara bank tidak adil kerana akan membebankan rakyat terutama individu berpendapatan rendah yang sudah sedia berdepan cabaran kewangan.

Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, oleh sebab itu pihaknya menyokong gesaan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang mahu memansuhkan caj tersebut.

Menurutnya, gesaan itu dibuat bagi meringankan beban kewangan rakyat.

"Kami menyatakan sokongan tidak berbelah bagi terhadap NUBE dalam gesaan memansuhkan caj RM1.

"Bagi seseorang yang berpendapatan rendah membuat pengeluaran lima kali sebulan dengan kos tahunannya berjumlah RM60.

"Kami mewakili kira-kira 950,000 pekerja menerusi gabungan di seluruh negara amat bimbang dengan jurang kekayaan dan pendapatan yang semakin ketara selain beban tambahan dikenakan terhadap kumpulan berpendapatan rendah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Kamarul Baharin, fi RM1 itu sebenarnya bertujuan memacu keuntungan untuk institusi kewangan besar, khususnya Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) yang memiliki Malaysian Electronic Payments System (MEPS).

Jelasnya, oleh itu dengan kemajuan teknologi, caj untuk pengeluaran antara bank patut dimansuhkan memandangkan kos sara hidup yang tinggi di negara ini.

"Kami dengan tegas menggesa caj tambahan ini dimansuhkan sepenuhnya," jelasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon dilaporkan berkata, pihaknya telah menulis kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank komersial lain untuk meminta mereka menasihatkan PayNet supaya menghapuskan atau mengecualikan bayaran fi itu.

Menurut Solomon, walaupun menerima maklum balas daripada BNM dan beberapa bank, tidak ada satu pun yang memberikan komitmen tegas bahawa fi RM1 itu akan diketepikan.

Justeru beliau menggesa PayNet serta bank komersial lain supaya mementingkan empati dan tanggungjawab sosial dalam operasi mereka.