MTV Akan Menghentikan Siaran Bermula 31 Disember Di Beberapa Pasaran

WorldEntertainment
13 Oct 2025 • 3:40 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Paramount, syarikat induk yang memiliki saluran MTV mengumumkan siaran akan dihentikan di United Kingdom dan Ireland bermula 31 Disember 2025. Selepas itu siaran TV akan dihentikan di pasaran global seperti Australia, Poland, Jerman, Benelux, Perancis dan Brazil secara berperingkat.

Tindakan menamatkan operasi MTV adalah bagi mengurangkan kos operasi syarikat sehingga $500 juta setahun. Perubahan landskap muzik membuatkan MTV tidak lagi menjadi destinasi utama untuk menonton muzik video artis kegemaran dan ia kini digantikan oleh platform penstriman seperti YouTube, TikTok dan Apple Music.

Di UK sebanyak lima saluran iaitu MTV Music, MTV 80s, MTV 90s, Club MTV dan MTV Live akan ditamatkan pada 31 Disember depan. Hanya saluran MTV HD akan dikekalkan dengan ia menayangkan rancangan realiti seperti Geordie Shore. Jenama MTV masih akan diteruskan di media sosial dengan kandungan masih boleh distrim menerusi platform Paramount+ selepas ini. Ketika laporan diterbitkan masih tidak pengesahan saluran MTV juga akan dihentikan di Malaysia

Identiti MTV sebagai televisyen untuk muzik sudah banyak berubah sejak awal 2000 selari dengan perubahan trend penonton. Bermula milenium baharu, MTV lebih terkenal dengan siri realiti seperti Jackass, Jersey Shore, Real World, Singled Out dan Ridiculousness. Ia menggantikan siaran berita MTV News yang terkenal kerana yang melaporkan kematian Kurt Cobain dan Total Request Live yang menjadi siri siaran langsung pilihan artis mempromosikan muzik di akhir 90an.

Sebagai insan Generasi X, MTV bagi saya amat sinonim dengan siri MTV Unplugged yang mempopularkan semua genre akustik dan Headbanger’s Ball yang memperkenalkan saya kepada banyak kumpulan muzik baharu yang tidak didengari di radio Malaysia.

MTV memulakan siaran mereka pada 1 Ogos 1981 dengan tayangan video muzik Video Killed The Radio Star oleh The Buggles. Tetapi pada 31 Disember 2025, nampaknya streaming killed the video star pula berlaku.