SHAH ALAM – Golongan mualaf memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, sekali gus membantu memperkukuh kefahaman serta keharmonian dalam masyarakat majmuk.
Pengasas dan Presiden Pertubuhan Al Khaadem, Datuk Dr Sheikh Hussain Yee berkata, pengalaman mualaf sebagai saudara baharu yang pernah melalui latar belakang agama dan budaya berbeza menjadikan mereka lebih memahami kedua-dua pihak dalam masyarakat majmuk.
Menurutnya, kefahaman itu membolehkan golongan tersebut menjadi penghubung dalam menjelaskan nilai sebenar Islam kepada keluarga serta masyarakat.
"Alhamdulillah, sebagai seorang saudara baharu sendiri, saya tidak mempunyai masalah dengan keluarga saya. Sudah tentu sebelum seseorang memeluk Islam, ada perasaan takut. Apa yang mereka akan katakan? Adakah mereka akan memutuskan hubungan dengan saya dan sebagainya.
"Apabila seseorang mempunyai pengetahuan yang betul, perkara seperti itu tidak akan berlaku. Saya sangat bersyukur kerana mendapat bimbingan yang betul daripada para ulama yang baik yang menunjukkan jalan bahawa keluarga tetap keluarga kita. Kita tidak boleh memutuskan hubungan dengan keluarga.
"Islam datang untuk menyatukan, bukan untuk memecah-belahkan. Kita mempunyai kebebasan untuk memilih apa yang kita ingin percaya, tetapi kita tidak mempunyai hak untuk memutuskan hubungan dengan keluarga," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam program Table Of Unity Forum Session Featuring a Fireside Chat With Datuk Dr Sheikh Hussain Yee di Karangkraf, di sini pada Jumaat.
Program tersebut turut menampilkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebagai panelis yang dikendalikan moderator, Farouq Daniel Dzulastra.
Table For Unity dimeriahkan dengan majlis berbuka puasa disertai Anthony yang sama-sama duduk bersila di atas tikar dengan peserta lain.
Sheikh Hussain berkata, masih terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat yang beranggapan bahawa memeluk Islam bermaksud seseorang itu perlu menukar identiti bangsa.
Menurutnya, hakikatnya seseorang itu kekal dengan identiti asalnya walaupun memeluk Islam.
"Ada menyangka bahawa memeluk Islam di negara ini bermaksud menjadi Melayu. Tidak. Saya masih Cina kerana seseorang tidak boleh menukar bangsa atau identitinya. Yang berubah hanyalah agama.
"Agama tidak dimiliki oleh mana-mana bangsa. Agama Islam, milik ALLAH SWT. Tuhan tidak mengikut kita, tetapi kita yang perlu mengikuti ajaran-Nya,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan, bimbingan dan pengetahuan agama yang betul penting bagi memastikan hubungan kekeluargaan terus terpelihara walaupun berlaku perbezaan agama.
"Alhamdulillah, apabila kita mempunyai bimbingan dan pengetahuan yang betul, ia membantu kita untuk terus bersatu," ujarnya.
Tambah beliau, Islam juga mengajar umatnya supaya sentiasa melakukan perkara yang baik serta saling membantu antara satu sama lain.
“Di Malaysia, kita harus sentiasa bersedia untuk saling membantu melakukan perkara yang betul, berkata perkara yang betul dan membawa manusia lebih dekat kepada ALLAH SWT. ALLAH SWT mahukan keamanan.
"Sebab itu ucapan terbaik adalah Assalamualaikum yang bermaksud sejahtera ke atas kamu," menurut Sheikh Hussain lagi.
Tambah beliau, Islam turut menekankan kepentingan menghormati orang lain serta menasihati dengan cara yang baik sekiranya berlaku kesilapan.
“Jika kita tahu seseorang melakukan kesalahan, kita harus membantu mereka untuk menjadi lebih baik.
“Tiada manusia yang sempurna. Kita semua mempunyai kelemahan masing-masing,” katanya.
