
KUALA LUMPUR 3 Dis – Muar Ban Lee Technology Sdn. Bhd (MBLT), subsidiari milik penuh Muar Ban Lee Group Berhad (MBL) menandatangani Perjanjian Jual Beli pada 2 Disember 2025 bagi membeli dua hartanah industri di Mukim Sungai Raya, Muar, Johor dengan nilai keseluruhan RM9.5 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, hartanah yang dibeli berkeluasan 1.5 ekar dan 0.76 ekar dengan kedua-duanya mempunyai bangunan sedia ada.
“Kedua-dua hartanah mempunyai tempoh pajakan 60 tahun kategori penggunaan industri, bangunan berusia 29 tahun dan kadar penyewaan 100 peratus.
“MBLT tidak membuat sebarang penilaian bebas sebelum pembelian, namun Lembaga Pengarah MBL berpendapat bahawa jumlah pertimbangan sebanyak RM9.5 juta adalah adil dan munasabah.
“Hartanah ini bersebelahan dengan kilang syarikat, yang dijangka meningkatkan integrasi operasi dan mengelakkan kos pengalihan,” katanya dalam makluman tersebut.
Pembelian hartanah ini dijangka menyokong strategi pengembangan syarikat, dengan menyediakan ruang tambahan untuk automasi, penyimpanan, pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Syarikat itu berkata, ia juga akan menyatukan aktiviti operasi dengan integrasi hartanah baharu ke kilang sedia ada.
“Pembelian RM9.5 juta akan dibiayai melalui dana dalaman syarikat dan pinjaman bank. Bayaran deposit sebanyak RM1.425 juta atau 15 peratus daripada jumlah pertimbangan telah dibuat semasa penandatanganan perjanjian, manakala baki RM8.075 juta akan dibayar dalam tempoh tiga bulan dari tarikh Surat Kelulusan Pemindahan daripada Pihak Berkuasa Negeri.
“Sekiranya terdapat kelewatan, pihak penjual akan memberikan lanjutan satu bulan untuk pembayaran baki pertimbangan.
“Pembelian hartanah dijangka tidak memberi kesan material terhadap syarikat pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025,” katanya.- DagangNews.com

